BDB Akan Bina Kondominium Pertama Di Alor Setar

Diterbitkan: Isnin, 23 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB), melalui usaha sama dengan Belleview Bina Sdn Bhd (Belleview) akan membina sebuah kondominium pertama di bandaraya ini tidak lama lagi.

Kondominium Amansuri Residences yang mempunyai dua blok bangunan itu akan mula dibina pada November ini dan dijangka siap pada 2014 dengan anggaran keseluruhan bernilai RM110 juta.

Pengerusi BDB Datuk Mohd Saad Endut berkata cadangan pembinaan kondominium itu timbul serentak dengan cadangan pembangunan semula Kompleks Tunku Yaacob dan juga hotel bertaraf antarabangsa di atas tanah milik Perbananan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang telah terbiar selama 16 tahun.

Beliau berkata, pembinaan kondominium itu akan membabitkan sebidang tanah berkeluasan 1.469 hektar persegi.

Semasa berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Pembangunan Kondominium Antara BDB dan Belleview, beliau berkata ketiga-tiga projek itu akan dibina berdekatan antara satu sama lain dan berada di sepanjang jalan yang sama.

"Kondominium yang mempunyai dua blok bangunan ini mempunyai 22 dan 25 tingkat dan akan menempatkan 227 unit rumah termasuk enam unit penthouse," kata Mohd Saad.

Antara kemudahan lain yang akan disediakan, katanya ialah kemudahan tempat letak kereta, kolam renang moden, dewan serbaguna, pavilion, gimnasium dan kemudahan-kemudahan lain yang akan menjadikan kondominium itu setaraf dengan kondominium yang terbaik di negara ini.

"Kondominium itu juga turut lengkap dengan kemudahan sekuriti yang berpiawaian tinggi, berpagar dan berpengawal," katanya.

Beliau berkata dengan rekod kejayaan Kumpulan BDB yang terunggul di Kedah dan rekod pencapaian Kumpulan Belleview di Pulau Pinang, beliau yakin projek pembinaan kondominium itu akan menjadi satu kejayaan yang besar.

"Ia akan menukar pemandangan Bandaraya Alor Setar di samping meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri melalui hasil cukai dan sebagainya," katanya.

Mohd Saad berkata, walau pun harga jualan kndominium itu belum ditetapkan, beliau yakin harganya lebih rendah jika dibandingkan dengan harga di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang meski pun kemudahan yang disediakan adalah setanding dengan kondominium di kedua-dua negeri tersebut.

"Kerja-kerja pembinaan kondominium itu akan diberikan kepada Kedah Sato Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh BDB yang terlibat secara aktif dalam bidang pembinaan sejak 1983 lagi," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata proses pengambilan tapak Kompleks Tunku Yaacob masih berjalan dan permintaan terhadap pengambilan bangunan itu telah dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk diwartakan.

"Kita jangkakan, pada Ogos ini, baru kita akan panggil keluarga terbabit untuk diberi pampasan dan kita masih belum putuskan apakah bentuk pampasan yang akan diberikan.

"Kita akan berbincang dengan Pejabat Tanah untuk tujuan itu," katanya yang turut memberitahu kelewatan projek itu disebabkan berlakunya beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan