Kerajaan Perlu Tarik Balik Subsidi Secara Berperingkat

Diterbitkan: Ahad, 22 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Para penggubal dasar sering dibelenggu kerumitan apabila berdepan dengan isu pengawalan harga kerana bukanlah suatu kerja mudah untuk menghalang barangan keperluan harian seperti makanan dan tenaga, daripada terkena tempias kenaikan harga global.

Semua pihak sewajarnya faham bahawa kenaikan harga secara global adalah di luar kawalan mereka. Implikasi luaran terhadap harga barangan di negara ini tidak mungkin dapat disekat, tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Sebagai contoh, untuk mengekang perasaan tidak puas hati dalam kalangan pengguna, sesebuah kerajaan terpaksa memberi subsidi dan ini merupakan langkah paling popular untuk meminimumkan ancaman kenaikan harga barangan seperti bahan api dan makanan.

Bagaimanapun, pemberian subsidi akan menjejaskan bajet negara kerana ia melibatkan pengalihan dana daripada perbelanjaan secara produktif, tidak menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap, meningkatkan permintaan terhadap bahan api fosil dan memacu kenaikan harga yang lebih tinggi dalam jangka panjang.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengibaratkan subsidi bahan api sebagai "candu" kepada ekonomi Malaysia dan oleh itu, kata beliau, ia perlu dikurangkan secara beransur-ansur agar defisit bajet negara dapat dikawal.

Beliau berkata pada awalnya, kerajaan menganggarkan subsidi bahan api akan melibatkan kos sekitar RM11 bilion pada tahun ini, tetapi kenaikan harga minyak mentah menyebabkan anggaran itu melonjak kepada sekitar RM18 bilion.

Sejak Mac lepas, kerajaan mengumumkan bahawa ia komited terhadap langkah mengurangkan subsidi secara jangka panjang agar penjimatan daripada tindakan ini boleh disalurkan kepada usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan pertengahan daripada menanggung kesan teruk akibat kenaikan kos sara hidup.

Era harga minyak rendah sudah berlalu dan ramai pakar berpendapat langkah Malaysia memberi subsidi minyak dan gas sekarang bukan suatu kaedah yang cekap dan oleh itu, tidak wajar diteruskan. Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata daripada 25 negara yang memberi paling banyak subsidi pada 2009, 10 adalah dari Asia iaitu Malaysia, India, China, Indonesia, Uzbekistan, Pakistan, Thailand, Bangladesh, Turkmenistan dan Kazakhstan.

Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan perbelanjaan global pada 2010 untuk pemberian subsidi mencecah $US250 bilion (RM750 bilion) dan sekali gus memberi amaran bahawa jumlah itu mungkin meningkat pada masa akan datang berikutan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.

Beberapa negara, termasuk Vietnam menaikkan harga bahan api sebanyak satu pertiga daripada harga sebelumnya, walaupun dibantah oleh rakyat, manakala China pula telah dua kali menaikkan harga bahan api pada tahun ini.

Hanya Jepun, Korea Selatan dan Singapura merupakan segelintir negara Asia yang mengamalkan kaedah penetapan harga bahan itu mengikut harga pasaran dunia.

Daripada perspektif kebajikan, pemberian subsidi pada kadar yang tinggi dianggap suatu langkah yang tidak cekap kerana golongan yang mampu membayar harga tinggi bagi bahan api juga mendapat manfaat daripadanya, sedangkan tujuan utama pemberian subsidi ialah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

Seperti kata Presiden Persatuan Pelabur Malaysia Datuk P.H Lim, langkah itu juga tidak cekap daripada segi perspektif pengagihan kerana wujudnya ketirisan, perbuatan menyorokkan bahan api dan menyeludupnya ke negara yang lebih tinggi harganya.

"Sebenarnya, kerajaan Malaysia memberi subsidi bagi banyak barangan, tetapi sesetengahnya sering disalahgunakan (oleh pencari keuntungan) dan ramai rakyat negara ini pula masih dibelenggu mentaliti subsidi. Setelah lebih 50 tahun Merdeka, kita sepatutnya lebih mampu berdikari, bukannya menjadi semakin bergantung pada bantuan," katanya.

Sambil menganjurkan amalan "bayar apabila mengguna", Lim berkata jika seseorang itu mampu membeli kereta besar dan mahal, dia juga sepatutnya bersedia untuk membeli bahan api tanpa subsidi.

Pakar ekonomi yakin kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk mengurangkan subsidi secara beransur-ansur sebelum menghapuskannya sama sekali dan menjajarkan harga domestik hampir dengan harga dunia. -- LAGI SUBSIDI-PENGURANGAN 4 KUALA LUMPUR "Kerajaan serta syarikat perniagaan dan pengguna perlu berkongsi beban kos. Beban itu perlu diagihkan untuk mengelakkan perbelanjaan subsidi kerajaan menjadi tidak terkawal dan dengan itu, lebih banyak dana dapat disalurkan kepada sektor lebih produktif seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan sosial," kata ketua pakar ekonomi kumpulan RAM Holdings Dr Yeah Kim Leng. "Jika kita membuat pelarasan secara beransur-ansur, kita akan dapat menanganinya (pengurangan dan penghapusan subsidi) berbanding negara lain, di mana pengguna perlu menanggung peningkatan harga lebih tinggi," katanya. Pengurangan subsidi bagi harga gula baru-baru ini dijangka dapat membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaannya sebanyak RM400 juta kepada sekitar RM283 juta setahun dan meraih penjimatan lebih kurang RM117 juta setahun. Dr Yeah berkata sebagai negara berpendapatan pertengahan atas dan pengeksport bersih pelbagai komoditi termasuk minyak mentah, Malaysia mampu menyerap kenaikan harga, dengan syarat wujud perkongsian secara sama rata bagi kenaikan harga antara kerajaan, syarikat perniagaan dan pengguna. "Keadaan ini bukan dihadapi oleh ekonomi Malaysia saja, kebanyakan ekonomi lain di dunia juga turut menghadapinya. Tugas menangani kenaikan harga makanan adalah lebih mencabar dan sebab itulah kita perlu memberi fokus terhadap usaha menstabilkan harga," katanya. -- LAGI SUBSIDI-PENGURANGAN 5 (AKHIR) KUALA LUMPUR Beliau berkata walaupun kerajaan terpaksa berhempas-pulas menghadapi cabaran daripada segi kenaikan harga secara global, rakyat Malaysia telah menikmati harga yang begitu stabil sejak lama dulu dan oleh itu, kini tibalah masanya mereka perlu menyesuaikan diri dengan kenyataan pahit bahawa kenaikan harga tidak dapat dielakkan, khususnya ketika pengeluaran makanan global semakin berkurangan, manakala permintaan terhadapnya pula semakin meningkat. Bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn berkata penyusunan semula (atau pengurangan) subsidi sememangnya merupakan suatu langkah yang tidak popular. Tetapi, beliau berpendapat kerajaan perlu mengurangkan pemberian subsidi untuk mendidik rakyat Malaysia supaya beransur-ansur membebaskan diri mereka daripada mentaliti subsidi dan untuk membolehkannya mengawal kedudukan fiskal negara dengan lebih berkesan. "Kita telah mengalami defisit fiskal selama lebih satu dekad. Ini perlu diperbetulkan untuk mencapai kelestarian pada masa akan datang," kata Dr Fong, yang pernah berkhidmat sebagai dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya sebelum menceburkan diri dalam bidang politik pada 1990-an. Pada 2009, defisit fiskal Malaysia mencecah RM47.4 bilion, atau 7.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagaimanapun, hasil daripada pelaksanaan program penyusunan semula subsidi pada separuh kedua 2010, kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskalnya kepada RM43.3 bilion, atau 5.6 peratus daripada KDNK pada akhir tahun lepas. Kerajaan menyasarkan dapat mengurangkan jumlah itu kepada 5.4 peratus pada tahun ini dan kepada 5.2 peratus pada 2012. "Pada perbincangan bajet (2012) baru-baru ini, perdana menteri bercakap tentang perlunya bagi Malaysia meningkatkan keanjalan kewangannya untuk membolehkannya mempunyai sokongan fiskal sekiranya berlaku kejatuhan ekonomi dan pencapaian kelestarian fiskal merupakan sebahagian daripada proses penting dalam melaksanakan transformasi terhadap ekonomi negara," kata Dr Fong.-BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan