Hujan Renyai Tidak Halang Kemeriahan Citrawarna 1Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 22 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenenan menerima watikah pelancaran Citrawarna 1Malaysia di hadapan Dataran Merdeka, malam Sabtu. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen (dua kiri). - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenenan menerima watikah pelancaran Citrawarna 1Malaysia di hadapan Dataran Merdeka, malam Sabtu. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen (dua kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Citrawarna 1Malaysia 2011 iaitu program budaya rakyat Malaysia memukau ribuan penonton yang tidak mengendahkan hujan renyai untuk menyaksikan persembahan penuh berwarna warni di Dataran Merdeka di sini, malam Sabtu.

Pelancaran Citrawarna 1Malaysia dengan tema "Festival Pelancongan 1Malaysia" disempurnakan oleh Yang-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Kira-kira 100,000 pengunjung dalam dan luar negara membanjiri segenap sudut di sekitar dataran untuk menyaksikan acara itu yang bermandikan cahaya dan percikan bunga api diikuti persembahan kebudayaan, lagu dan muzik.

Acara edisi ke-13 itu menampilkan pelbagai cerita rakyat, legenda serta muzik dan tarian tradisional dengan menonjolkan kekayaan dan keunikan kepelbagaian kebudayaan di Malaysia.

Hadir sama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Festival berwarna warni itu turut disaksikan oleh kira-kira 25 juta penonton televisyen apabila acara itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke sembilan negara -- Brunei, China, Indonesia, Taiwan, New Zealand, Filipina, Singapura, Vietnam dan Macau.

Citrawarna 1Malaysia adalah acara tahunan anjuran Kementerian Pelancongan dengan tujuan memperkenal dan mempromosikan produk pelancongan menerusi aspek kesenian dan kebudayaan masyarakat majmuk Malaysia ke arah konsep 1Malaysia seiring dengan tema pelancongan 'Malaysia Truly Asia'.

Persembahan tahun ini berdasarkan enam segmen produk pelancongan iaitu Taman-Taman Awam, Pelancongan Sukan, Seni Kontemporari, Makanan, Buah-buahan dan beli Belah, Eko-Pelancongan dan 1Malaysia Green Malaysia Clean.

Di sampung itu, lima tarian etnik dipersembahkan iaitu tarian 'Samrah' oleh masyarakat Melayu, 'Sewang' oleh Orang Kita, tarian 'Singa dan Tanglung' oleh orang Cina, tarian 'Little India oleh masyarakat India dan 'Ram Vong' oleh masyarakat Siam.

Sektor pelancongan merupakan industri kelima terbesar dalam ekonomi negara dengan menyumbang RM56.5 bilion pada tahun lepas dengan ketibaan 24.5 juta pelancong.

Dr Ng berkata Malaysia berhasrat mencapai ketibaan 36 juta pelancong dengan perbelanjaan pelancong mencecah RM168 bilion menjelang 2020.

"Bagi mencapai matlamat ini, kita akan terus dengan usaha kreatif dan inovasi dengan menggunakan sumber negara seperti alam, kebudyaaan dan sejarah," katanya.

Bagaimanapun, ramuan penting bagi kejayaan sektor pelancongan negara ialah komitmen, dedikasi dan sokongan oleh semua masyarakat Malaysia,' katanya dalam ucapannya pada majlis tersebut.

Acara itu diakhiri dengan persembahan joget 1Malaysia oleh 5,000 peserta yang terlibat dalam persembahan dan perarakan serta orang ramai.

Pada awal hari ini, karnival pelancongan turut diadakan dengan 45 buah gerai disediakan untuk pengunjung dengan menawarkan pakej pelancongan domestik serta pelbagai produk pelancongan seperti desa inap serta makanan dan minuman tempatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan