Pengamal Undang-Undang Perlu Kuasai Skil Runding - Bekas Hakim

Diterbitkan: Sabtu, 21 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengamal undang-undang perlu menguasai skil perundingan sekiranya ingin menawarkan penyelesaian alternatif kepada mana-mana pertikaian di peringkat antarabangsa.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Gopal Sri Ram berkata, seorang yang bijak berunding akan dapat mencapai urus janji atau persetujuan yang baik untuk klien mereka.

Katanya, perundingan merupakan suatu subjek wajib di England dan sehubungan itu, menggesa pensyarah mengajar subjek tersebut kepada para penuntut undang-undang di universiti.

"Skil perundingan ialah satu skil yang boleh diajar dan para pelajar perlulah menguasai skil perundingan. Sekiranya ingin menjadi pendukung Resolusi Pertikaian Alternatif sebagai medium atau kaedah (untuk mencapai keamanan pada abad ke-21) , anda mesti menguasai skil perundingan," katanya.

Beliau berucap demikian sebelum merasmikan Persidangan Kebangsaan Persatuan Pelajar Undang-Undang Asia (ALSA) 2011 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, Sabtu.

Persidangan yang bertemakan 'Mengglobalisasikan Resolusi Pertikaian Alternatif Sebagai Medium Untuk Mencapai Keamanan Pada Abad Ke-21' itu turut dihadiri Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Undang-Undang UiTM, Rizal Abidin dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik fakulti sama, Basir Sulaiman.

Gopal memberitahu, selain berskil dari segi seni advokasi, peguam dalam mengendalikan sesuatu kes atau membuat persiapan untuk sesebuah kes juga harus mempunyai lain-lain kemahiran.

"Satu, skil untuk memberitahu klien bahawa adalah lebih baik untuk menyelesaikannya daripada mitigasi. Pada peringkat awal mitigasi, semua pihak begitu beria-ia komited (gungho) tentang kes tersebut. Bagaimanapun ketika masa berlalu dan tarikh trial menjelang tiba, mereka mungkin hilang minat," jelasnya.

Gopal menambah, peguam harus berani memberitahu klien mereka bahawa kesnya tidak memihak kepada mereka.

Katanya, pengamal undang-undang turut wajib mendalami kes-kes yang diwakili serta aspek perundangan secara terperinci.

Jelas beliau, ini penting bagi mempertahankan serta membuktikan betapa kukuhnya kes-kes klien dari segi perundangan.

ALSA ialah organisasi ditubuhkan para pelajar undang-undang universiti dari rantau Asia berperanan untuk mengetengahkan jalan penyelesaian bagi isu-isu perundangan yang timbul di negara masing-masing.

Sejak ALSA wujud pada tahun 1989, keanggotaannya kini melibatkan seluruh pelajar undang-undang universiti iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Filipina, Taiwan, Thailand, Malaysia, Singapura dan Indonesia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan