Ahli Ekonomi Jangka Kerajaan Mansuhkan Subsidi Beransur-Ansur

Diterbitkan: Sabtu, 21 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Meskipun pengurangan subsidi selanjutnya tidak dapat dielakkan, namun ahli ekonomi percaya kerajaan akan memansuhkannya secara beransur-ansur agar tidak membebankan rakyat miskin dan golongan yang berpendapatan rendah.

Ahli ekonomi Affin Investment Bank, Alan Tan Chew Leong, berkata beliau menjangka kerajaan mengurangkan dan memansuhkan subsidi secara berperingkat agar kos sara hidup rakyat, terutamanya rakyat miskin, tidak menerima kesan yang teruk.

"Kami fikir kerajaan akan mencadangkan pakej pampasan pengimbang untuk membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi tekanan inflasi dan kenaikan harga," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Setakat ini, kerajaan telah mengurangkan subsidi bagi bahan api dan gula berikutan program pengurangan subsidi pertama pada pertengahan Julai 2010.

Tidak terdapat sebarang perubahan pada cadangan pengurangan subsidi terdahulu bagi tepung dan minyak masak serta kadar tol, tarif elektrik dan harga gas.

Tan berkata selain pengurangan subsidi, kerajaan juga akan komited untuk mengurangkan perbelanjaan kendalian -- dengan semua kementerian mengamalkan langkah-langkah berjimat cermat -- serta meneroka sumber-sumber pendapatan alternatif seperti pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata penjimatan daripada pengurangan subsidi itu akan disalurkan ke arah menambah baik kemudahan awam.

"Ini termasuklah rangkaian pengangkutan bandar, prasarana asas luar bandar dan jalan raya, serta menambah baik kemudahan pendidikan bagi kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata jika tarif kuasa dinaikkan sebagai sebahagian daripada rancangan pengurangan subsidi, pengguna domestik yang berpendapatan rendah tidak akan terjejas.

Beliau berkata pengurangan subsidi perlu dilakukan, termasuk kemungkinan menaikkan harga gas kerana jumlah subsidi semakin meningkat dengan ketara disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah, gas dan arang batu dalam pasaran global.

"Petronas membeli gas dan minyak mentah manakala Tenaga Nasional Bhd mendapatkan sumber import arang batunya untuk menjana tenaga elektrik dari pasaran global pada harga antarabangsa yang telah meningkat dengan banyaknya dalam beberapa tahun lalu," katanya.

Beliau berkata kedua-dua entiti ini dan kerajaan menjual tenaga elektrik, gas dan petrol kepada pengguna di Malaysia pada harga subsidi yang malah turut dinikmati oleh syarikat multinasional.

"Dari perspektif lain, Malaysia mensubsidi kos produk negara-negara lain.

"Ini menyebabkan kegagalan pasaran dari segi harga yang bererti ekonomi tidak cekap kos," katanya.

Akibatnya, kata beliau, syarikat-syarikat cenderung bergantung kepada pemberian sedemikian berbanding menyesuaikan diri dan menerima pakai teknologi baharu untuk mengawal kos pengeluaran agar kekal rendah dan seterusnya menjadi lebih cekap dan berdaya saing.

Penganalisis-penganalisis lain berpendapat ekoran cabaran-cabaran yang semakin sengit dan harga komoditi seperti minyak mentah, gas, arang batu dan minyak sawit yang semakin meningkat dalam pasaran global yang menjejaskan simpanan negara, program subsidi Malaysia perlu dikaji semula dan dikurangkan selanjutnya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan