Rakyat Diminta Bersama Kerajaan Mengurangkan Subsidi

Diterbitkan: Jumaat, 20 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Rakyat haruslah bersama kerajaan dalam usaha mengurangkan jumlah subsidi yang semakin meningkat dari RM10.3 bilion tahun lepas kepada RM20.58 bilion tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Katanya kerajaan akan mengkaji secara terperinci agar sebarang keputusan bagi mengurangkan subsidi tidak membebankan rakyat golongan miskin.

"Kajian itu akan dibuat secara menyeluruh yang membabitkan bahan bakar, tepung, gula dan bahan makanan asas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Telong di sini, Jumaat.

Beliau mengulas kebimbangan rakyat terutama di luar bandar terhadap kemungkinan kenaikan harga barangan berikutan langkah mengkaji semula pemberian subsidi termasuk bagi petroleum RON95.

Isnin lepas kerajaan menjangkakan jumlah subsidi tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu iaitu daripada RM10.3 bilion kepada RM20.58 bilion berikutan kenaikan harga minyak dunia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu kira-kira RM18 bilion adalah untuk sektor berkaitan petroleum berbanding tahun lalu hanya sekitar RM8 bilion.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kenaikan itu terlalu besar dan tiada kerajaan lain di dunia yang sanggup menanggung beban peningkatan yang mendadak itu.

Katanya hasil kajian dan langkah mengatasinya akan diumumkan sebaik sahaja kerajaan menerima maklum balas daripada agensi-agensi kerajaan terbabit yang diarah membuat kajian mengenainya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan