Kekalnya Hadi Sebagai Presiden, Dekatkah PAS Kepada Perpaduan Dengan Umno?

Diterbitkan: Jumaat, 20 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kekalnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS tanpa bertanding bagi tempoh 2011-2013 mencetuskan beberapa tafsiran menarik antaranya berkaitan isu perpaduan dengan Umno.

Hakikat bahawa Anggota Parlimen Marang itu menang tanpa dicabar untuk menerajui PAS bagi tempoh tiga tahun akan datang menunjukkan kepimpinan beliau mendapat sokongan padu anggota akar umbi parti itu.

Namun, menarik juga untuk ditafsirkan bahawa sokongan padu kepada beliau, selain kerana gaya kepimpinan ulamanya, boleh jadi juga kerana anggota parti akar umbi ini turut mendokong pandangan Abdul Hadi yang ada pihak melihat sebagai cenderung kepada perpaduan dengan Umno.

Bolehkah dianggap bahawa mesej perpaduan ini sudah semakin dekat di hati anggota akar umbi PAS sebagaimana dekatnya mesej serupa di hati anggota dan pemimpin Umno, berlatar belakangkan masa depan Melayu dan umat Islam serta kepentingan utama negara?

Kecenderungan Abdul Hadi kepada perpaduan yang disebutkannya pada Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Jun 2009 tentunya masih segar dalam ingatan penyokongnya ketika mengambil keputusan menentukan beliau menang tanpa bertanding.

Apapun bentuk perpaduan yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi, sama ada berupa kerajaan perpaduan atau perpaduan dalam erti kata memperbaiki pinggan yang retak supaya tidak sumbing apatah lagi terbelah, bukanlah persoalannya kerana banyak anggota PAS dan anggota serta pemimpin Umno juga melihatnya secara positif.

Malah Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan sudah bersingsing lengan dengan tekad untuk membawa PAS ke dalam Barisan Nasional demi perpaduan orang Melayu dan supaya orang Melayu berhenti berbalah sesama sendiri.

Seorang anggota PAS yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Hamid berkata perpaduan itu jika diusahakan bersungguh-sungguh oleh kedua-dua pihak pasti boleh menjadi kenyataan kerana PAS sendiri pun pernah bersama Umno dalam BN dan memang boleh bekerjasama.

"Bekerjasamalah, bentuklah perpaduan yang boleh menjamin kepentingan bangsa tanpa meminggirkan kepentingan bangsa lain. BN merupakan landasan perpaduan nasional yang sangat baik dan sudah teruji," kata pula anggota Umno, Mohamed Yusuf, yang melihat sokongan kepada Abdul Hadi itu sebagai sokongan kepada usaha perpaduan Melayu.

Dilihat daripada dalam parti pula, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian berkata keputusan parti mengkekalkan Abdul Hadi dianggap sebagai keputusan sebulat suara dan ingin mengekalkan kepimpinan ulama menerajui parti Islam itu.

"Saya juga melihat bahawa pengalaman Abdul Hadi antara faktor beliau dikekalkan sebagai presiden parti walaupun sebelum ini kawasan Bukit Bintang mencalonkan Exco Kelantan Datuk Husam Musa bagi merebut jawatan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menyentuh soal pencalonan PAS kawasan Bukit Bintang yang mencalonkan Husam, pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata ia mungkin lebih bermotifkan protes.

Katanya tentu ada anggota PAS kawasan itu yang mahukan pucuk pimpinan yang baru dengan mencalonkan seseorang daripada apa yang diistilah sebagai 'kumpulan Erdogan' mengambil alih teraju parti.

"Saya percaya akar umbi tidak memilih kumpulan ini dan percaya akar umbi mahukan Abdul Hadi supaya matlamat PAS yang sebenarnya itu tidak terhakis selain untuk mengelakkan perpecahan dalaman PAS sendiri," katanya.

Penganalisis politik, Abdul Ghapa Harun pula berpendapat pemilihan Abdul Hadi oleh akar umbi disebabkan kekurangan anggota parti yang mempunyai ketokohan dan kematangan seperti presiden PAS itu.

"Kalau tengok daripada segi kepimpinan, belum ada tokoh yang boleh mengambil alih kedudukan presiden dan tidak ada pemimpin yang mampu menyatukan kumpulan-kumpulan dalam parti.

"Walau apapun tanggapan orang kepada Abdul Hadi, buat masa ini, khidmat beliau masih ditagih anggota parti," kata Abdul Ghapa yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata jika sekalipun Abdul Hadi dicabar, lawannya itu mempunyai peluang tipis untuk menang kerana anggota PAS masih beranggapan bahawa sebuah parti Islam perlu ada imej 'tok guru'.

Katanya hala tuju PAS di bawah kepimpinan Abdul Hadi selepas ini tidak akan banyak berubah dan tetap akan memfokuskan kepada perjuangan bersifat agama. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan