MV Finch Masih Tunggu Pelepasan Berlabuh

Diterbitkan: Khamis, 19 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

EL-ARISH (Mesir): Selepas dua hari sejak kapal bantuan kemanusiaan Malaysia, MV Finch berlabuh di kawasan menunggu di Pelabuhan El-Arish namun tiada isyarat jelas sama ada ia dibenarkan untuk berlabuh, kata wartawan Bernama Mohd Faizal Hassan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini Rabu.

Semua 12 kru dan penumpang kapal itu telah cuba menembusi perairan Gaza yang dikepung Israel dalam usaha menyampaikan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Mohd Faizal berkata kapal itu masih lagi menunggu kebenaran pihak berkuasa Mesir untuk berlabuh.

Beliau berkata tujuh rakyat Malaysia, dua warganegara India, dua rakyat Ireland dan seorang rakyat Kanada yang berada di atas kapal itu berada dalam keadaan tidak selesa berikutan keadaan kapal yang sempit dan kekurangan bekalan makanan dan air bersih.

Terdapat hanya kira-kira empat tan air bersih yang tinggal dan catuan terpaksa dilakukan, katanya dan menambah panggilan kecemasan telah dibuat antara kapal itu dan pihak berkuasa Pelabuhan El-Arish, agen perkapalan di Greece dan Mesir termasuk juga pegawai kedutaan Malaysia di Mesir.

Mohd Faizal berkata tidak pasti sama ada kelewatan itu disebabkan tidak mendapat kebenaran yang sah menggunakan perairan Mesir untuk memasuki Gaza, iaitu tindakan yang boleh dikenakan denda atau disebabkan oleh dokumen yang tidak lengkap oleh agen perkapalan di Greece di mana kapal itu berasal.

Tetapi apa pun masalah yang timbul, katanya ia telah menyebabkan kesusahan kepada semua penumpang di atas kapal.

Katanya ia juga telah menjejaskan usaha untuk menurunkan barangan kargo iaitu paip PVC yang mana terpaksa dihantar melalui jalan darat ke Gaza.

Walaupun wang disalur dari Kuala Lumpur untuk menanggung kos bayaran pelabuhan, masalah itu tidak akan dapat diselesaikan dengan segera, kata Mohd Faizal.

Beliau menambah berdasarkan perkembangan terkini, ia akan mengambil tempoh beberapa hari lagi sebelum masalah itu dapat diselesaikan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan