BNM Longgar Pelaburan Langsung Di Luar Negara, Pinjaman Antara Syarikat, Pembiayaan Perdagangan

Diterbitkan: Khamis, 19 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan melonggarkan syarat bagi pelaburan langsung luar negeri, pinjaman antara syarikat dan kemudahan pembiayaan perdagangan antara syarikat pemastautin berkuat kuasa 1 Jun untuk meningkatkan kecekapan perniagaan dan daya saing ekonomi.

Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata pelonggaran itu bertujuan menyokong pengembangan operasi ddan pelaburan langsung luar negeri sektor swasta, meningkatkan lagi kecekapan pengurusan sumber kewangan dalam sesebuah kumpulan korporat dan untuk memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada sumber pembiayaan kompetitif.

"Dengan kata lain, ia bertujuan meningkatkan kecekapan proses untuk menjalankan perniagaan dan urus niaga kewangan asing," katanya ketika mengumumkan keputusan keluaran dalam negara kasar suku pertama, Rabu.

Melalui liberalisasi ini, kata beliau, syarikat pemastautin yang memenuhi keperluan kehematan kini dibenarkan membuat pelaburan langsung luar negeri sebarang amaun dan dikecualikan daripada had pelaburan RM50 juta dalam aset mata wang asing sekarang.

Syarikat pemastautin akan juga dibenarkan meminjam sebarang jumlah dalam ringgit dan mata wang asing daripada syarikat pemastautin dan syarikat bukan pemastautin bukan bank berkaitan, katanya.

Zeti juga berkata had semasa sebanyak RM5 juta yang dikenakan terhadap pembiayaan perdagangan mata wang asing yang diperolehi syarikat pemastautin daripada syarikat bukan pemastautin tidak lagi berkuatkuasa.

"Dalam hubungan ini, syarikat pemastautin boleh mendapatkan pinjaman matawang asing, termasuk pembiayaan perdagangan dalam mata wang asing, sehingga had agregat RM100 juta sekarang bagi syarikat berdasarkan kumpulan korporat dan RM10 juta bagi individu," jelas beliau.

Mengenai campur tangan bank pusat itu dalam pasaran pertukaran mata wang asing, Zeti berkata campur tangan itu bertujuan mengekalkan keadaan pasaran yang teratur.

"Bank Negara memang campur tangan dan kami membersihkan pengaliran masuk mudah tunai dan mudah tunai dalam sistem kewangan kita," katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan yang bank pusat itu bergantung kepada kadar pertukaran untuk mengurangkan tekanan inflasi disebabkan oleh keadaan turun naik kadar.

"Satu-satunya instrumen dalam dasar (mengurangkan tekanan inflasi) ialah kadar faedah bukan kadar pertukaran...ya, ia (kadar pertukaran) akan membantu tetapi kita tidak bergantung kepadanya kerana ia boleh jadi sebaliknya," katanya.

Beliau berkata bank pusat itu mempunyai pelbagai langkah dasar untuk menangani inflasi.

Menyentuh tentang Pelan Induk Sektor Kewangan, Zeti berkata pelan induk itu, yang dijadual diumumkan Jun atau Julai ini, dijangka mengandungi langkah-langkah untuk membangunkan pasaran agar lebih bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa.

"Kita mahu (sistem kewangan) yang lebih rancak di Malaysia... kita negara perdagangan dengan jumlah eksport dan import yang tinggi serta pelaburan di luar negara dan pelaburan masuk ke negara ini yang besar jumlahnya, tetapi pasaran pertukaran asing kita tidak semaju yang kita inginkan," tegas Zeti.

Justeru itu, kata beliau, pelan induk itu yang akan memajukan sistem kewangan bagi 10 tahun akan datang, akan memasukkan pembangunan pasaran pertukaran mata wang asing dalam satu daripada agendanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan