PKR Sedia Ke Mahkamah Isu Mohon Kerakyatan Di Hulu Selangor

Diterbitkan: Rabu, 18 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin mempertahankan dakwaannya bahawa Umno Hulu Selangor membuat permohonan mendapatkan kerakyatan kira-kira 2,000 warga Indonesia bagi membolehkan mereka mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang akan datang.

Beliau juga menegaskan bahawa PKR sedia menghadapi tindakan mahkamah sekiranya Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar menyamannya.

“Kita biar pihak polis menyiasat kes ini kerana kes ini ada kesahihannya berdasarkan dokumen yang dihantar oleh Umno Hulu Selangor untuk memohon kelulusan warganegara asing ini.

“Siapa juga yang menandatangani surat ini, jika bukan Mohamed Idris sekali pun, pihak polis perlu menyiasat siapakah dalang di sebalik perkara ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Mohamed Idris membuat laporan menafikan dakwaan PKR di balai polis Kalumpang, Hulu Bernam, Jumaat lalu.

Minggu lalu, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR pada sidang medianya menunjukkan kepada wartawan surat yang didakwa bukti Umno menyalahgunakan proses kerajaan.

Surat itu didakwa sebagai percubaan Umno Hulu Selangor mendapatkan kerakyatan Malaysia untuk kira-kira 2,000 penghuni tetap di Hulu Selangor yang majoritinya warga Indonesia bagi membolehkan mereka mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang.

Surat bertarikh 23 Mac didakwa ditandatangani oleh Mohamed Idris itu dialamatkan kepada Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Mohamed Idris dan beliau menyifatkan surat tersebut sebagai palsu dan fitnah jahat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam dilaporkan akan menimbangkan cadangan untuk menyaman Zuraida dan PKR sekiranya dakwaan tersebut tidak ditarik balik.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Khalid Jaafar menyifatkan apa yang berlaku di Hulu Selangor adalah rentetan daripada ‘projek IC’ yang berlaku di Sabah sejak tahun 1986.

“Saya lihat modus operandi yang dilakukan di Sabah melalui sindiket pemberian kerakyatan kepada warga asing adalah cara yang paling berkesan.

“Projek IC adalah cabaran yang besar kepada Pakatan Rakyat. Justeru, ia telah menjadi salah satu perkara penting dalam Buku Jingga, iaitu menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

“Kita juga berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut dan bersiap sedia mengenai kemungkinan sindiket tersebut melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia ,” katanya.

Khalid berkata, sehingga kini mereka tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar yang terlibat dalam Projek IC berkenaan, namun mendakwa telah dilakukan ke atas lebih 600,000 rakyat asing.

Beliau mendakwa, pendedahan mengenai usaha itu pernah dibuat pemimpin Sabah termasuk ketua kampung dan bekas tahanan ISA.

“Projek IC pernah melibatkan seorang pemimpin Sabah sehingga dibawa ke mahkamah yang akhirnya membawa kepada pembatalan keputusan pilihan raya dan ia diadakan semula.

“Taktik kotor ini ini berjangkit ke Semenanjung dan terbukti di Hulu Selangor,” katanya

Oleh itu, Khalid berkata, polis perlu menyiasat sekiranya wujud penyelewengan dan sindiket seperti yang berlaku di Sabah.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan