Umno Bincang Pilihan Raya Olok-olok

Diterbitkan: Selasa, 17 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pilihan raya 'olok-olok' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan menjadi topik utama dalam mesyuarat Pengurusan Umno esok, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Tengku Adnan berkata mesyuarat esok akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya.

"Kita akan bawa perkara yang dibincangkan esok itu kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 23 Mei untuk diputuskan tarikh mengadakan pilihan raya olok-olok di semua bahagian di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvoi Kebajikan dan Ziarah Kasih Puteri Wilayah Persekutuan di sini, Selasa.

Katanya maklum balas yang diterima menunjukkan bahawa semua Umno Bahagian menunggu tarikh untuk mengadakan simulasi pilihan raya olok-olok itu yang dijadualkan pada Julai depan.

Tambah beliau, usaha kini ditumpukan untuk mendaftarkan ahli Umno sebagai pemilih berdaftar bagi menghadapi PRU ke-13.

"Sebelum ini jumlah ahli Umno yang layak mengundi tetapi belum daftar sebagai pemilih ialah sebanyak 600 ribu orang, tetapi kini angka itu turun kepada 400 ribu.

"Dengan usaha berterusan kita harap sebelum PRU nanti semua ahli Umno yang layak mengundi dapat didaftarkan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan