Abdul Hadi Kekal Presiden, 6 Layak Rebut Jawatan Timbalan

Diterbitkan: Selasa, 17 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara rasmi mengekalkan jawatannya bagi penggal ke lima pada pemilihan parti itu yang akan diadakan awal bulan depan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang disahkan menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan tidak layak bertanding kerana gagal mendapat pencalonan yang cukup.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, setiap calon memerlukan dua pencalonan daripada PAS kawasan bagi melayakkan mereka bertanding.

Sebelum ini PAS Kawasan Bukit Bintang menerusi mesyuarat agungnya membuat kejutan apabila mencalonkan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa bagi merebut jawatan nombor satu parti itu.

Sementara itu bagi jawatan Timbalan Presiden, seramai enam calon layak bertanding bagi jawatan berkenaan termasuk penyandang jawatan berkenaan, Nasharudin Mat Isa.

Lima yang lain ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Husam; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu; serta dua Naib Presiden iaitu Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum ini Nasharudin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu sementara Mohamad turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan berkenaan.

Ditanya mengenai jumlah pencalonan bagi setiap calon yang layak bertanding, Abdul Halim berkata pihaknya tidak akan mendedahkan perkara berkenaan selain kepada calon itu sendiri.

"Kita tidak umum...kita tidak mahu terlibat seperti seolah-olah berkempen (untuk calon).

"Bagaimanapun pihak jawatankuasa akan memaklumkan kepada calon-calon yang layak bertanding mengenai jumlah pencalonan yang mereka terima," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Selain itu bagi jawatan Naib Presiden, seramai 14 calon yang layak bertanding termasuk Azizan, Husam, Mohamad Sabu, Nasharudin, Salahudin dan Tuan Ibrahim.

Lapan lagi layak bertanding bagi jawatan tersebut ialah seorang lagi penyandang, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad; Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman; Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa; Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Nik Zawawi Salleh dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tambah Abdul Halim, seramai 82 calon yang layak bertanding bagi merebut 18 kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Katanya lagi, Jawatankuasa Pemilihan akan menghantar surat makluman mengenai kelayakkan bertanding kepada calon-calon mulai hari ini.

"Semua calon yang berminat untuk bertanding perlu menjawab surat berkenaan selewat-lewatnya pada 26 Mei ini.

"Mereka mempunyai tiga saluran untuk menjawab surat kita iaitu sama ada dengan menulis surat, SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) atau secara faks," katanya.

Terdahulu pada sidang media yang sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata pihaknya menerima sebanyak 152 jumlah borang pencalonan daripada keseluruhan 180 kawasan.

"Bagaimanapun daripada jumlah itu hanya 146 jumlah pencalonan yang diterima selepas kita menolak enam pencalonan kerana tidak lengkap.

"Antara sebab pencalonan ditolak ialah borang pencalonan tidak ditandatangan," katanya.

Tambah beliau, sebanyak 1,100 perwakilan layak mengundi pada pemilihan kali ini yang dijadual diadakan pada 3 Mei depan.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan