Najib Tiba Di London Untuk Lawatan Dua Hari

Diterbitkan: Isnin, 16 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Ahad untuk lawatan dua hari ke United Kingdom.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, dari Doha mendarat pada 7.15malam (2.15am waktu Malaysia), di lapangan terbang London Luton, kira-kira sejam perjalanan dari sini.

Ketibaan Najib dan Rosmah disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakaria Sulong, isterinya Datin Hazizah Ahmad dan para pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Najib berada di sini atas jemputan Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS).

Semasa di sini, Perdana Menteri dijadual melawat tapak baru OXCIS danmenyampaikan syarahan bertajuk "Coalition of Moderates and Inter-Civilisational Understanding" (Gabungan Golongan Sederhana dan Kefahaman Antara Tamadun).

Najib juga dijadual mengumumkan sumbangan Bank Rakyat bagi mewujudkan Zamalah Tun Abdul Razak di Oxford University.

Beliau juga dijadual menghadiri majlis minum teh dengan para penuntut Malaysia di sini dan menghadiri sambutan dan majlis makan malam dengan anggota kanan Oxford University dan anggota diplomatik.

Perdana Menteri kemudian akan berlepas ke New York, untuk lawatan kerja ke Amerika Syarikat. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan