Lawatan Kerja Najib Ke AS Jambatan Penting Kepada Pusat Kewangan Dunia

Diterbitkan: Isnin, 16 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat mulai esok, merupakan suatu yang penting kepada negara kerana bakal menyediakan jambatan utama kepada pusat kewangan terbesar dunia dan laluan kepada ekonomi global.

Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berkata adalah penting bagi negara untuk melibatkan diri dengan dunia serta mengukuhkan perangkaiannya setelah memulakan program transformasi utama dalam negara.

"Jambatannya ialah ke AS. Itulah sebabnya Perdana Menteri akan berada di sini, terutamanya bagi melancarkan Invest Malaysia 2011 di Bursa Saham New York (NYSE) yang bukan sahaja pusat kewangan bagi AS tetapi juga dunia," kata beliau pada taklimat kepada wartawan Malaysia di sini, Isnin.

Najib, yang kini mengadakan lawatan kerja ke Britain, dijangka tiba di sini pada pukul 1.15 pagi Selasa bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Jamaluddin berkata Najib dijadual melancarkan dan menyampaikan ucaptama pada persidangan Invest Malaysia 2011 pada hari yang sama.

Idea untuk mengadakan Invest Malaysia di bursa saham terbesar dunia itu adalah daripada Najib sendiri semasa beliau melawat NYSE pada September lepas, dalam usaha untuk menarik pelabur AS ke pasaran Malaysia serta pasaran lain di rantau Asia Tenggara.

AS merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2010, dengan jumlah dagangan berjumlah RM117.32 bilion (US$36.43 bilion) berbanding dengan RM109.21 bilion (US$31.03 bilion) yang dicatatkan pada 2009.

Semasa menyifatkan persidangan New York sebagai bersejarah dan tidak pernah berlaku, Jamaluddin berkata biasanya acara sedemikian dianjurkan oleh bank-bank pelaburan dan komuniti perniagaan tetapi kali ini NYSE bersetuju untuk menjadi hos dan Perdana Menteri akan bertemu dengan pelabur utama.

Beliau berkata banyak tokoh korporat, pelabur dan pengurus dana lindung nilai bersedia untuk mendengar daripada Najib, yang juga Menteri Kewangan sendiri mengenai program transformsi dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pentadbirannya dalam usaha Perdana Menteri memacu negara ke arah negara pendapatan tinggi.

Jadual ketat Najib di New York juga termasuk mesyuarat dengan beberapa ketua industri, antaranya Ketua Pegawai Operasi NYSE Euronext, Lawrence Leibowitz, dan perbincangan meja bulat dan majlis makan tengah hari dengan Dewan Perniagaan Amerika Syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Ekskeutif Forbes, Steve Forbes akan menjadi tuan rumah kepada majis makan malam peribadi untuk Perdana Menteri pada Selasa. Selain menemui pemimpin-pemimpin korporat pada Selasa, Najib juga akan mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global untuk Malaysia (GSIAC) di Akademi Sains New York (NYAS).

"Ini peluang yang baik bagi Perdana Menteri untuk mendengar pandangan mereka yang berjaya mengubah Amerika Syarikat dan dunia. Ini kesempatan yang baik untuk mendengar idea dan pengetahuan," katanya.

GSIAC merupakan inisiatif usaha sama antara Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan NYAS dalam usaha mengubah Malaysia kepada ekonomi pendapatan tinggi melalui peningkatan kemampuan Malaysia dalam sains dan inovasi.

Akademi berusa 194 tahun itu mempunyai 25,000 anggota di 140 negara termasuk pemenang hadiah Nobel dan ketua-ketua syarikat.

Pada Rabu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Dow Jones and Company Les Hinton akan menemui Najib, yang juga akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Naib Presiden Eksekutif Motorola Gene Delaney, Ketua Pegawai Eksekutif CitiGroup Vikram Pandit, Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Rakan Kongsi IBM Frank Kemand Jand President/CEO AIG Consumer Jeff Hayman.

Kemudiannya, Perdana Menteri akan menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara General Electric dan AirAsia X, Universiti Putra Malaysia dan University of Maryland serta Kementerian Kesihatan Malaysia dan University of Maryland.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan