Shahrizat Akan Bawa Isu Penjualan Asid Ke Kabinet

Diterbitkan: Ahad, 15 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membawa isu penjualan dan pembelian asid ke Kabinet secepat mungkin supaya undang-undang pembelian dan penjualan asid dapat diperketat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau juga akan mengutarakan kepada Kabinet supaya kes-kes keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita diberi keutamaan dalam penyiasatan dan keutamaan untuk mensabitkan penjenayah terbabit

Beliau berkata kementerian memberi perhatian serius terhadap kedua-dua isu itu selepas terlalu ramai wanita menjadi mangsa simbahan cecair dipercayai asid yang kini tertumpu di sekitar Lembah Klang.

"Saya akan membawa isu ini ke Kabinet dalam masa terdekat memohon peraturan yang berkaitan aktiviti menyimpan dan menjual asid dikaji semula supaya orang awam tidak memiliki bahan ini dengan sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pokok Sena di sini, Sabtu.

Shahrizat berkata beliau juga telah berjumpa dengan pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dua hari lepas meminta isu simbahan asid itu dan keganasan terhadap wanita dibendung sebaik mungkin.

Sehingga semalam sebanyak 22 kes jenayah menyimbah cecair terhadap wanita berlaku di sekitar Lembah Klang yang dipercayai dilakukan oleh dua lelaki berusia 20 dan 30-an yang menaiki motosikal.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichtyosis Kedah (Perkid) Mohd Firdaus Mehad menyerah memorandum berkaitan tuntutan kebajikan pesakit Ichtyosis, sejenis penyakit kulit, di seluruh Kedah kepada Shahrizat.

Firdaus berkata Perkid yang ditubuhkan dua bulan lepas dan mempunyai anggota seramai 25 orang memerlukan sokongan daripada kementerian tertentu supaya hal-hal kebajikan pesakit Ichtyosis diberi perhatian.

"Kebajikan yang kami perlukan ialah seperti ubat-ubatan, kewangan dan kaunseling bagi memastikan nasib pesakit seperti kami ini dibela dan kami mengharapkan masyarakat sedar dan tidak meminggirkan kami," katanya kepada pemberita. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan