Pemuda Umno Tidak Harus Hanya Jadi Kumpulan Pendesak - Khairy

Diterbitkan: Ahad, 15 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PONTIAN: Pergerakan Pemuda Umno tidak harus lagi hanya menjadi kumpulan pendesak politik, sebaliknya menjadi penyedia penyelesaian kepada masalah yang dihadapi golongan muda di negara ini, kata ketuanya Khairy Jamaluddin.

Ini, menurut beliau, adalah sebagai terjemahan pergerakan itu terhadap transformasi politik yang dilaksanakan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tidak cukup bagi Pemuda untuk menjadi kumpulan pendesak sahaja tetapi akan turut menjadi penyedia penyelesaian untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan muda di negara ini," katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno bahagian Pontian di sini, Sabtu.

Langkah tersebut, kata Khairy dapat membawa kembali golongan muda yang saban hari semakin menjauhi Umno dan Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Rembau itu berkata antara masalah yang dihadapi oleh golongan muda ialah kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dan juga gaji minimum yang rendah.

Beliau turut mengingatkan anggota pergerakan itu bahawa BN kini sudah tiada lagi simpanan tetap bagi meletakkan gagasan itu di tempat yang selesa untuk menubuhkan kerajaan.

Khairy berkata mereka juga harus memantapkan lagi perjuangan dalam memperkukuhkan parti dengan menarik sokongan ramai golongan muda kepada Umno dan BN.

Beliau berkata anggota pergerakan itu harus menolak kepentingan diri dan bekerja keras meningkatkan perpaduan dalam parti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan