Najib Akan Melakukan Lawatan Kerja Ke New York, Washington DC

Diterbitkan: Ahad, 15 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke New York dan Washington DC dari 16 hingga 24 Mei.

Lawatan kerja itu selaras dengan komitmen yang dinyatakan oleh Najib dan Presiden Barack Obama semasa mesyuarat dua hala pada 12 April, tahun lepas, di Washington DC untuk meluaskan kerjasama antara kedua-dua negara.

Kemuncak lawatan itu ialah mesyuarat pelancaran Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global untuk Malaysia (GSIAC) di Akademi Sains New York (NYAS), yang akan dilancarkan oleh Najib pada 17 Mei, menurut kenyataan Kementerian Luar di sini.

GSIAC adalah inisiatif bersama antara Kerjasama Industri Kerajaan Malaysia dalam Teknologi Tinggi (MIGHT) dan NYAS untuk mentransformasikan Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi menerusi peningkatan keupayaan Malaysia dalam sains dan teknologi.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa Najib dijadual melancarkan "Melabur di Malaysia 2011" dan menyampaikan ucaptama beliau pada persidangan yang akan diadakan di Bursa Saham New York, juga pada 17 Mei.

Program lain termasuk kunjungan hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif NYSE Euronext Lawrence Leibowitz ke atas Najib, makan tengah hari dengan pemimpin industri kewangan, mengadakan siri pertemuan perseorangan dengan tokoh korporat syarikat multinasional serta pegawai dari Wall Street dan Dow Jones.

Najib akan menghadiri mesyuarat meja bulat dan makan tengah hari dengan tokoh-tokoh Dewan Perniagaan Amerika Syarikat pada 18 Mei.

Perdana Menteri juga dijadual menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU).

Ini termasuk MoU antara General Electric dan AirAsia X; Universiti Putra Malaysia (UPM) dan University of Maryland; Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Thurgood Marshall College Fund serta Surat Hasrat antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan University of Maryland.

Di Washington, perdana menteri akan melawat John Hopkins University dan menemui pegawai kanan institusi berprestij itu.

Najib juga dijadual mengadakan pertemuan tidak rasmi pada majlis sarapan pagi dengan pegawai kanan pertadbiran Amerika Syarikat.

Menyifatkan hubungan antara Malaysia dan US adalah baik dan erat, kenyataan Kementerian Luar itu menyatakan bahawa US merupakan rakan dagang yang keempat terbesar Malaysia pada tahun lepas.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara adalah RM117.32 bilion (US$36.43 bilion) pada tahun lepas, berbanding RM109.21 bilion (US$31.03 bilion) tahun sebelumnya.

Lawatan kerja perdana menteri itu ke dua bandar raya Amerika Syarikat tersebut dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, khasnya dalam perdagangan dan pelaburan serta sains dan teknologi.

Kenyataan itu menyatakan bahawa Najib akan diiringi isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan empat menteri kabinet, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mereka akan disertai oleh para pegawai kanan kementerian berkaitan serta beberapa tokoh korporat dan pemimpin perniagaan Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan