Sistem Biometrik Atasi Kegiatan Jenayah Melibatkan Warga Asing

Diterbitkan: Sabtu, 14 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sistem biometrik yang akan mula digunakan oleh Jabatan Imigresen Jun depan dikenal pasti dapat mengekang kegiatan jenayah merentasi sempadan melibatkan warga asing, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kewujudan sistem pengimbas cap jari itu diharap dapat menangani isu-isu keselamatan, antaranya pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan senjata, dan keganasan.

"Sistem ini dapat meningkatkan keberkesanan pemantauan terhadap pelancong, pelajar dan golongan lain yang masuk ke negara ini melalui jalan darat atau laut," katanya.

Hishammuddin bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Rawatan dan Prihatin Chow Kit di Lorong Haji Taib 3 di sini, yang menjadi antara agenda transformasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata dengan sokongan sistem pengesan awal ini, aktiviti pengedar dadah juga akan dapat dikekang.

"Dengan pemantauan sistem ini baru kita tahu pengedar dadah datang ke negara kita. Kalau tak ada, kita pun tidak tahu di mana mereka berada," katanya.

Sistem pengimbas ini hanya memerlukan satu minit 20 saat kepada setiap warga asing yang masuk ke negara ini.

Di peringkat awal, penggunaan sistem itu akan digunakan di 61 daripada 96 pintu masuk di negara ini.

Berhubung pusat tersebut, beliau berkata ia merupakan satu lagi perkhidmatan yang ditawarkan AADK kepada golongan penagih dan penyalah guna dadah yang ingin mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela.

"Pusat rawatan ini istimewa kerana ia merupakan program out-reach yang menawarkan khidmat di tengah-tengah lokasi panas atau hot-spot dengan pelbagai masalah sosial," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan