Nasib Veteran ATM Akan Lebih Terbela Jika Akta Veteran Dilaksanakan

Diterbitkan: Sabtu, 14 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Nasib kira-kira 300,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sebahagian besarnya tidak berpencen akan lebih terbela jika Akta Veteran ATM dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

Katanya, pada masa ini hanya kira-kira 98,000 veteran tentera menikmati pencen sedangkan selebihnya tidak ada kemudahan itu kerana tempoh perkhidmatan tidak sampai 21 tahun.

Berucap pada program khas Memperkasakan Veteran ATM peringkat negeri Perlis di sini hari ini, beliau berharap Akta Veteran ATM akan mampu melindungi hak veteran termasuk yang berkaitan dengan sara hidup dan perubatan pesara tentera yang tidak berpencen.

Sementara itu Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu ketika merasmikan program itu berkata veteran ATM amat berjasa kepada negara dan mereka tidak akan dipinggirkan.

Katanya, tanggungjawab mereka adalah besar bagi memastikan keamanan negara yang berterusan dan pengorbanannya tetap terpahat dalam lipatan sejarah negara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan