Kerjasama Polis-Awam Jadi Agenda Utama PDRM - Berita Semasa | mStar

Kerjasama Polis-Awam Jadi Agenda Utama PDRM

Diterbitkan: Sabtu, 14 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Melatih dan melibatkan masyarakat awam dalam tugas menjaga keselamatan negara kini menjadi agenda utama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata penglibatan awam dan kerjasama mereka dengan polis terbukti memberi momentum yang berkesan terhadap berkurangnya indeks jenayah di satu-satu kawasan.

"Polis tidak boleh lagi menjalankan tugas ini bersendirian, kita perlu bergabung dengan masyarakat untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan negara," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Polis di Dataran Senawang oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu.

Ismail berkata soal pembesaran keanggotaan pasukan polis bukan menjadi faktor utama untuk menjaga keselamatan negara secara efektif, sebaliknya yang penting ialah penglibatan orang ramai dan bagaimana polis serta awam boleh bersama membantu memantau keselamatan di tanah air.

"Kalau kita bergerak secara bijaksana tanpa mengira tua muda, ia akan membantu menurunkan kadar jenayah negara dan sekali gus memberi impak kepada laporan antarabangsa di mana ia adalah baik untuk imej negara ini," katanya.

Beliau berkata rondaan bersama dengan pasukan tentera misalnya merupakan satu perkara yang berkesan dan menerima maklum balas yang baik daripada orang awam khususnya.

Sementara itu, Mohamad berkata beliau mahu kesemua taman perumahan di Negeri Sembilan mempunyai program Skim Rondaan Sukarela (SRS).

"Sekarang ini kita ada program Kejiranan Rukun Tertangga (KRT) tetapi bukan semua ada skim SRS, kalau boleh biar semua kawasan kejiranan yang ada KRT akan membuat SRS," katanya.

Beliau berkata di Negeri Sembilan, program SRS terbukti telah menurunkan indeks jenayah sebanyak 50 peratus. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan