Kerajaan India Tawar Biasiswa Bagi Anak- Anak Perantau Dari India

Diterbitkan: Jumaat, 13 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan India mengumumkan sebuah program biasiswa khas bagi anak-anak perantau yang berasal dari India (PIO) dan warga India bukan pemastautin (NRI) untuk meneruskan kursus siswazah profesional dan am di India.

Biasiswa itu menawarkan 75 peratus daripada kos ekonomi institusional (IEC) atau US$3,600, mana lebih rendah, yang turut merangkumi yuran tuisyen, yuran asrama dan caj institusional lain, kecuali caj makanan, menurut kenyataan daripada bahagian pendidikan Suruhanjaya Tinggi India di sini, Jumaat.

Kenyataan itu menyebut biasiswa yang ditawarkan itu bagi kursus siswazah dalam bidang termasuk kejuruteraan, seni bina, teknologi, kemanusiaan, sastera liberal, perdagangan, pengurusan, kewartawanan, pengurusan hotel, perusahaan pertanian/penternakan, sains dan undang-undang. Perubatan dan kursus berkaitan dengannya adalah terkecuali.

Calon NRI layak mendapat biasiswa berkenaan hanya sekiranya jumlah pendapatan keluarganya tidak melebihi satu jumlah bersamaan dengan US$2,250 sebulan.

Garis panduan dan borang permohonan boleh dimuat turun dari laman web pendidikan suruhanjaya tinggi itu di www.indianhighcommission.com.my.

Borang permohonan juga boleh diperoleh di Sayap Pendidikan, Suruhanjaya Tinggi India, No.2, Jalan Taman Duta, Off Jalan Duta, Kuala Lumpur. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan