Pemimpin Krisitan Tiada Hasrat Cabar Islam Sebagai Agama Rasmi Persekutuan - Najib

Diterbitkan: Khamis, 12 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama pemimpin-pemimpin agama Kristian pada majlis makan tengahari bersama para pemimpin itu di Bangunan Perdana Putra di sini, Khamis. Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (empat, kiri) dan Datuk Seri Idris Jala (empat, kanan).-Foto BERNAMA.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama pemimpin-pemimpin agama Kristian pada majlis makan tengahari bersama para pemimpin itu di Bangunan Perdana Putra di sini, Khamis. Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (empat, kiri) dan Datuk Seri Idris Jala (empat, kanan).-Foto BERNAMA.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kumpulan pemimpin Kristian telah memberi pengakuan bahawa mereka menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan tiada hasrat mencabar peruntukan itu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata kumpulan pemimpin itu juga memberi pengakuan untuk bekerjasama memupuk keamanan dan keharmonian terutama antara agama supaya Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman dan sejahtera.

"Sukacita saya maklumkan bahawa pemimpin-pemimpin Kristian telah memberi dua pengakuan yang sangat penting dan bermakna (hari ini)," katanya kepada pemberita selepas makan tengah hari bersama pemimpin-pemimpin Kristian di pejabatnya di sini, Khamis.

Antara yang hadir, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala serta Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Biskop Ng Moon Hing.

Pada pertemuan itu juga, Najib memberi jaminan kepada kumpulan pemimpin berkenaan bahawa kerajaan memerlukan masa untuk meneliti beberapa pandangan dan permasalahan yang mereka hadapi.

"Bukanlah menjadi tujuan kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pun kumpulan pemimpin Kristian untuk kita mengketengahkan secara terbuka perkara-perkara tersebut sehingga dapat diselesaikan dengan baik.

"Apabila telah dapat diputuskan dan diselesaikan dengan baik pada masa itulah, kita akan katakan sesuatu secara terbuka," katanya.

Ditanya apakah permasalahan tersebut, Perdana Menteri berkata: "Bila sudah selesai, kita akan nyatakan secara terbuka."

Perdana Menteri berkata dialog yang serupa juga boleh diadakan dari semasa ke semasa pada masa akan datang bersama kumpulan agama lain kerana beliau telah pun mengadakan perjumpaan dengan pemimpin dan cendekiawan Islam, semalam.

Ditanya bila dialog bersama pemimpin Kristian itu dirancang untuk diadakan, Najib berkata pejabatnya telah mengatur pertemuan itu sejak dua minggu lepas, namun hasrat beliau untuk mengadakannya lebih awal lagi.

Ditanya reaksi kumpulan pemimpin berkenaan berhubung isu Kristian baru-baru ini, Perdana Menteri berkata kumpulan pemimpin Kristian itu tidak senang hati dengan berita tersebut seperti yang disiarkan dalam akhbar.

"Mereka telah terima nasihat saya supaya kita bertenang dalam hal ini dan jangan buat sesuatu yang menambah ketegangan dalam masyarakat," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan berhubung penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang baru-baru ini, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

"Sebab itu kita perlu berhati-hati dalam hal ini supaya apa jua perkara yang boleh menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam negara perlu kita elakkan dan perlu kita gunakan kebijaksanaan untuk menangani dan menguruskan isu-isu itu," kata Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata beliau masih menunggu hasil siasatan daripada polis berhubung isu Kristian itu.

"Biarlah polis jalankan siasatan dulu dan bila sampai masanya, kita cari jalan sebaik-baiknya dengan penuh kebijaksanaan sebelum membuat sesuatu keputusan," katanya.

Najib berkata secara keseluruhannya, beliau berpuas hati kerana usaha kerajaan mengadakan dialog tersebut dihargai oleh pemimpin-pemimpin Kristian.

"Mudah-mudahan dengan pendekatan ini, kita akan dapat memperlihatkan kesungguhan kerajaan dengan pihak lain sama ada Islam, Kristian atau kumpulan agama lain untuk bekerjasama sebagai satu usaha ke arah keamanan dan kesejahteraan negara yang dihasratkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan