Generasi Baru Umno Perlu Fahami Landskap Politik Baru Negara:Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 12 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PARIS: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata generasi baru pimpinan Umno perlu memahami landskap politik baru tanah air termasuk bersikap lebih terbuka dan memahami agar parti terus diterima masyarakat.

Dalam perutusannya kepada anggota Umno sempena sambutan ulang tahun ke-65 parti hari ini, Muhyiddin berkata Umno adalah parti yang peka dengan pandangan masyarakat dan prihatin dengan tuntutan-tuntutan baru serta memahami perubahan sosio politik tanah air yang tidak sama seperti sepuluh atau dua puluh tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata dalam situasi politik semasa, anggota Umno perlu mengubah cara berfikir dan menggunakan pendekatan mengambil kira persepsi dan perspektif berkaitan masyarakat seperti isu ekonomi, sosial, kebudayaan, hubungan kaum dan hubungan antarabangsa.

"Ahli-ahli harus bersedia melakukan apa yang dikatakan transformasi politik, bukan sahaja dari segi pendekatan tetapi juga mind-set (cara berfikir)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Rabu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di ibu negara Perancis ini sejak Isnin untuk menghadiri mesyuarat lembaga eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Beliau berkata Umno melalui proses "kesepakatan" dengan rakan komponen Barisan Nasional (BN) akan terus memainkan peranan membangunkan masyarakat dan menangani sentimen perkauman yang mutakhir ini disifatkannya kadang-kadang membimbangkan.

Pada ketika ini, katanya, perkara berkaitan kaum mudah mencetuskan rasa marah dan kebimbangan di mana situasi demikian tidak berlaku dahulu.

Katanya selain daripada pendidikan yang boleh berperanan dalam soal menangani isu perkauman, pemimpin masyarakat dan pertubuhan politik juga mempunyai peranan dengan perlu bersikap lebih terbuka dan "jangan terlalu sempit".

Beliau berkata perjuangan Umno dan konsep setiakawan dengan komponen B Ndilihat semakin penting dalam konteks Malaysia.

"Hubungan akrab antara kaum dan persefahaman yang kita jalinkan dalam B Nmenjadi semakin penting, bukan sahaja penting tetapi menjadi semakin penting. Ini tidak boleh kita rungkaikan atau buat dia longgar, kena perkukuhkan.

"Kesepakatan dalam komponen parti (BN), memahami aspirasi masyarakat dan ambil pendekatan kesederhanaan, tidak ada yang lebih baik dari kesederhanaan," katanya.

Muhyiddin berharap sambutan hari kelahiran Umno itu mampu mencetus semangat kepada anggotanya untuk terus berjuang demi kepentingan bangsa, agama dan negara dalam landskap politik baru.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan