Ahmad Maslan Azam Bawa Masuk PAS Ke Dalam BN

Diterbitkan: Khamis, 12 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berazam untuk membawa masuk PAS ke dalam Barisan Nasional (BN) sebagai usaha menyatupadukan orang Melayu.

Harapan beliau menerusi usaha itu ialah agar orang Melayu berhenti berbalah sesama sendiri yang akhirnya akan merugikan kaum itu sendiri.

"Saya akan cuba usahakan perkara itu supaya PAS berada dalam BN, berhenti Melayu sama Melayu bergaduh...(kerana) ia memenatkan, buang masa, membazir tenaga dan kerja bodoh," katanya dalam Forum 65 Tahun Umno di sini Rabu.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan seorang daripada panel forum yang diadakan bersempena dengan ulang tahun parti, bersama-sama dengan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia, Ustaz Fathul Bari.

Beliau berkata sekiranya PAS dan Umno bergabung, ia bukan saja menguntungkan orang Melayu tetapi kaum bukan Melayu juga turut meraih keuntungan apabila majoriti kaum di negara ini bersatu dan aman-damai.

"Kita tolak politik dan tumpukan soal pendidikan, perniagaan, perpaduan, ekonomi dan bangunkan negara ini bersama-sama," katanya.

Beliau juga berharap agar orang Melayu menjadi masyarakat yang maju menjelang tahun 2020 dan yakin Umno akan terus melaksanakan usaha ke arah mencapai impian tersebut selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju pada tahun tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas forum itu, Ahmad berkata pilihan raya umum akan datang dijangka akan menjadi yang paling sengit dalam sejarah negara, bagaimanapun jangkaan itu akan meleset sekiranya PAS bersama-sama dengan Umno berjuang.

"Apa salahnya sekiranya PAS bersama-sama Umno sebagai kemuncak perpaduan. Bersempena dengan ulang tahun Umno ke-65 ini, saya ingin menyeru kepada semua parti ataupun badan bukan kerajaan Melayu supaya sepakat dalam perjuangan untuk terus membangunkan negara," katanya.

Terdahulu, dalam forum itu, Fathul berkata adalah menjadi satu kesilapan yang besar apabila sebahagian manusia menggunakan agama untuk kepentingan sendiri dan mengejar nama serta kedudukan.

"Bila kita bawa sesuatu atas nama Islam, lupakanlah politik, sepatutnya usaha-usaha untuk mentaati Allah s.w.t kita perlu bersatu-padu. Dalam usaha kita mendekatkan diri dengan sunnah Rasul lupakan politik kerana ini kepentingan agama dan bukannya kepentingan peribadi," katanya.

Dr Hasan pula berkata Umno perlu memberi tumpuan kepada dua kumpulan masyarakat sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13 agar mereka tidak lari jauh sekaligus tidak menyokong Umno.

"Kumpulan itu ialah profesional yang sudah pencen dan golongan muda kerana mereka ini mudah dipengaruhi. Umno mesti tunjuk kepimpinannya untuk mempengaruhi mereka, jangan sekali-kali mengabaikan mereka," katanya.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan