DPMM Mahu Laksana Keseluruhan Projek MRT

Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mahu membangunkan keseluruhan projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dengan usaha sama persatuan kontraktor yang lain.

"Kami mohon untuk menjalankan keseluruhan projek MRT bersama persatuan kontraktor lain secara usaha sama atau pembelian syarikat-syarikat yang terlibat," kata presidennya Syed Ali Alatas pada sidang media mengenai cadangan balas anggota DPMM mengenai projek pembangunan infrastruktur terbesar negara itu, di sini Selasa.

Syed Ali berkata projek mega yang kini diurus oleh Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB), menetapkan beberapa syarat kepada syarikat yang ingin membida projek itu, yang dilihat menyukarkan kontraktor Bumiputera untuk terlibat sama.

Antara syarat yang didapati menyekat peluang Bumiputera ialah larangan untuk menjalinkan usaha sama dengan mana-mana syarikat pada komponen tertentu, dan mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM10 juta.

Syed Ali berkata berdasarkan syarat SPNB itu, DPMM menganggarkan hanya 37 syarikat atau kontraktor Bumiputera yang layak memohon untuk projek itu.

Turut hadir pada sidang media ialah Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mokhtar Samad. Persatuan Kontraktor Melayu mempunyai 16,000 anggota.

Mokhtar berkata persatuan itu menggesa kerajaan supaya menimbang semula syarat yang ditetapkan bagi membolehkan lebih ramai kontraktor Melayu atau Bumiputera terlibat sama dalam projek MRT.

"Kita harap kerajaan akan membenarkan usaha sama atau penubuhan konsortium supaya kontraktor Bumiputera turut layak menjalankan projek ini," katanya.

Menurutnya persatuan itu kini menagih jaminan yang diberi oleh Pengarah Urusan SPNB, Shahril Mokhtar bahawa mereka tidak akan mengetepikan kontraktor Bumiputera dalam projek pembangunan itu.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan