Inflasi Di Malaysia Boleh Diurus: Pakar Ekonomi RAM

Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Inflasi di Malaysia pada ketika ini boleh diurus meskipun peningkatan tekanan bagi kadar digerakkan antara 3.0 dan 3.3 peratus tahun ini, kata Ketua Ekonomi RAM Holdings Group Dr Yeah Kim Leng.

Secara puratanya, inflasi Malaysia berada pada tiga peratus kecuali pada 2008 apabila ia meningkat hampir kepada lima peratus.

Yeah berkata pengukuhan ringgit akan mengimbangi beberapa kesan inflasi.

"Apa yang penting ialah memastikan bekalan makanan dan barangan asasi lain yang mencukupi dan menaikkan pendapatan," katanya selepas mesyuarat agung tahunan RAM Holdings, di sini, Isnin.

Beliau berkata tiada alasan untuk bimbang kerana pertumbuhan ekonomi masih tinggi antara lima dan enam peratus walaupun sekiranya inflasi meningkat kepada empat atau lima peratus.

"Ini berbanding dengan negara-negara seperti China, Korea Selatan dan Filipina di mana inflasi mereka berada antara lima dan tujuh peratus," katanya. Bagi suku pertama tahun ini, beliau berkata, diramalkan bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 5.2 peratus.

Beliau berkata peningkatan inflasi sekarang adalah disebabkan harga minyak dan komoditi yang tinggi.

"Ini adalah sebab mengapa Bank Negara bertindak minggu lepas untuk menaikkan kadar faedah disebabkan jangkaan peningkatan tekanan haga," katanya.

Bank Negara pada Khamis menaikkan Kadar Polisi Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus berkuat kuasa serta merta manakala Keperluan Rizab Berkanun (SRR) akan dinaikkan daripada 2.00 peratus kepada 3.00 peratus pada 16 Mei.

Mengenai prospek pertumbuhan ekonomi tahun ini di tengah-tengah peningkatan tekanan inflasi, Yeah berkata sasaran pertumbuhan enam peratus kerajaan boleh dicapai terutamanya sekiranya Program Transformasi Ekonomi berjaya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan