SAPP Tubuh Panel Untuk Berbincang Dengan DAP Berhubung Manifesto Bersama - Berita Semasa | mStar

SAPP Tubuh Panel Untuk Berbincang Dengan DAP Berhubung Manifesto Bersama

Diterbitkan: Sabtu, 7 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) telah membentuk satu panel yang terdiri daripada tiga orang untuk berbincang dengan DAP berhubung manifesto yang perlu dikemukakan pakatan pembangkang kepada rakyat Sabah.

Naib Presidennya Dullie Marie berkata satu lagi panel terdiri daripada wakil dari pelbagai zon di Sabah, Labuan dan Lembah Klang telah dipilih oleh Majlis Tertinggi minggu lepas bagi berbincang dengan DAP dan parti pembangkang yang lain bagi mencapai kata sepakat untuk pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

"Perbincangan ini bukan satu perkara baru. Pada Jun 2009, apabila Naib Presiden PKR pada masa itu Azmin Ali mengambil alih jawatan pengerusi PKR Sabah, perbincangan cara langsung diadakan dengan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee dan timbalan presiden Datuk Eric Majimbun. Beberapa perbincangan tidak rasmi juga diadakan.

"Sebenarnya, pemimpin SAPP termasuk saya sendiri, Datuk Eric Majimbun dan Datuk Yong Teck Lee, juga berbincang dengan Naib Presiden PKR YB Fuziah Salleh semalam di Kota Kinabalu sebelum mesyuarat jawatankuasa PKR Sabah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Sabtu.

Dullie berkata: "Memandangkan apa yang Fuziah telah dedahkan bahawa parti pakatan pembangkang seperti PKR dan DAP tidak akan berbincang dengan pihak lain secara berasingan tetapi akan bercakap sebagai satu kumpulan (Pakatan) kepada parti seperti SAPP, kita menunggu penjelasan lanjut daripada DAP sama ada perbincangan dengan DAP akan diteruskan atau tidak".

"Selepas pemilihan muktamad panel PKR "dalam beberapa hari ini" kita benar-benar berharap perbincangan serius berhubung manifesto dan pengagihan kerusi akan mengambil tempat," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan