ATB 2 Atasi Tiga Cabaran Laksana Tugas Keselamatan Di Pantai Timur Sabah

Diterbitkan: Sabtu, 7 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) yang berpangkalan di sini akan terus berusaha mengatasi tiga elemen yang menjadi cabaran pasukan itu bagi memastikan tugas menjaga keselamatan di perairan pantai timur Sabah terus mentap.

Panglima ATB, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata tiga elemen itu termasuk penyesuaian diri di kalangan anggota yang datang dari tiga cabang angkatan tentera melibatkan Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut.

Elemen kedua ialah berhubung kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat khususnya yang mendiami kawasan pesisir pantai timur Sabah.

“Semua cabaran itu kita telah lalui dan atasi dengan cara berhemah. Kita sentiasa mencari jalan penyelesaian jika berhadapan dengan cabaran,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah-terima tugas antara Komander ATB 2 Brig Jen Datuk Hasny Md Salleh dengan penggantinya Brigadier Jeneral Mohd Ezam Wan Chik di Padang Kawad Kem Kukusan di sini, Sabtu.

Hasny yang memegang jawatan itu sejak 7 Jun tahun lalu ditukarkan ke Markas Tentera Darat dengan menjawat jawatan Pengarah Halatuju Tentera Darat.

Menurut Ahmad Kamarulzaman, ATB 2 kini melaksanakan pendekatan "tanya khabar" untuk merapatkan hubungan antara masyarakat setempat, khususnya nelayan, ketika melaksanakan tugas di barisan hadapan sempadan negara.

“Anggota ATB 2 yang menghampiri mereka (nelayan) adalah semata-mata untuk bertanya khabar mereka. Tidak ada sebab nelayan perlu takut dengan pasukan keselamatan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan