Tiada Kursus Baru Perubatan Di IPT Hingga 2016

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua penawaran kursus baru dalam bidang perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) dibekukan selama lima tahun bagi memastikan kualiti siswazah sedia ada berada pada tahap cemerlang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembekuan itu dilaksanakan serta-merta selepas mengambil kira faktor peningkatan ketara bilangan graduan perubatan, kompetensi pegawai perubatan siswazah, tenaga pengajar dan hospital pengajar.

"Kabinet meluluskan cadangan yang diusulkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun lalu dalam mesyuarat pasca Kabinet, Rabu. Pembekuan itu berkuat-kuasa awal bulan ini sehingga 30 April 2016," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) di sini, Khamis.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan itu tidak akan menjejaskan jumlah pegawai perubatan yang diperlukan negara ini menjelang 2020.

Menurutnya, jumlah siswazah perubatan yang dikeluarkan 33 IPT sedia ada dan lulusan luar negara mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di negara ini dalam tempoh sembilan tahun lagi.

"Berdasarkan kadar pengeluaran graduan perubatan, negara berupaya mencapai sasaran nisbah seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk (1:400) menjelang 2020. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat tanpa perlu menambah kursus perubatan baru," katanya.

Jelasnya, sehingga 31 Januari terdapat 33 IPT membabitkan 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menawarkan kursus dalam bidang perubatan di peringkat sarjana muda.

"Walaupun 33 IPT menawarkan kursus perubatan, jumlah keseluruhan kursus itu adalah sebanyak 47 kursus. Ia berikutan terdapat IPT yang menyediakan lebih daripada satu program," tambahnya.

Mohamed Khaled berkata, daripada 33 IPTA terbabit, 17 IPT diberi pengiktirafan merangkumi lapan IPTA dan sembilan IPTS di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, pengiktirafan sedia ada boleh ditarik balik jika gagal menepati kriteria dan piawaian akreditasi yang ditetapkan.

Mengulas mengenai jalinan kerjasama di antara OUM dan MBAM, Mohamed Khaled memuji inisiatif kedua-dua pihak dalam menghasilkan graduan berinovasi dan berkemahiran tinggi untuk memenuhi pasaran tempatan dan luar negara pada masa hadapan.

"Saya percaya graduan dalam bidang pembinaan yang dikeluarkan OUM kelak dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara di pasaran global," ujarnya.

NOTA: Untuk membaca kenyataan penuh Menteri Pengajian Tinggi berhubung keputusan terbaru ini sila pergi ke ruangan KAMPUS@MSTAR.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan