Polis Sedang Kenal Pasti Dalang Edar Video Seks Mirip Anwar

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti dalang pengedaran salinan video seks mirip pemimpin pembangkang yang diperoleh beberapa orang kenamaan termasuk ahli politik baru-baru ini.

Beberapa individu termasuk Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam baru-baru ini menerima sampul surat mengandungi video cakera padat rakaman aksi seks yang pelakunya mirip ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis memandang serius perbuatan itu kerana ia boleh mengganggu proses siasatan kes rakaman video itu yang masih berjalan.

"Kami sahkan beberapa kenamaan termasuk ahli politik memperoleh salinan video yang dipercayai diedarkan pihak tertentu dan beberapa laporan polis oleh mereka yang menerima salinan itu telah dibuat.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab iaitu individu dan pihak yang mengedarkan serta motif mereka mengedarkan video itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Anti Penyeludupan dan Pemerdagangan Manusia Peringkat Asean di Maktab PDRM Cheras di sini.

Kursus itu yang julung kali diadakan disertai seramai 40 peserta membabitkan pegawai polis, imigresen, kastam dan agensi berkaitan dari kalangan negara serantau, khusus untuk merangka strategi memerangi jenayah itu yang kini menjadi masalah global.

Ismail juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi rakaman terbaru video seks berkenaan yang akan dimuatnaik di laman web oleh individu yang tidak bertanggungjawab selepas ini.

Beliau berkata dalam zaman teknologi yang moden dan canggi ini, polis tidak mampu untuk menyekat terus penyebaran rakaman video berkenaan melalui Internet.

"Saya pun terkejut dengan perkara ini... bila sudah ada bahagian yang dimuatnaik di dalam Internet, ada kemungkinan rakaman seterusnya dimuatnaik selepas ini...siapa yang memuatnaik dan dari mana sumber rakaman diperoleh, itu sedang kita siasat.

"Untuk menyekat, memang sukar justeru setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menangani pemasalahan ini dengan memastikan ia tidak terus tersebar," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kes video seks itu, Ismail berkata kertas siasatan sedang dikemaskini dan akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

Kertas siasatan yang dihantar ke Pejabat Peguam Negara dan kemudian dipulangkan semula sebelum diserah sekali lagi bukan perkara baru dan ia adalah antara prosedur dalam melengkapkan siasatan sebelum proses pendakwaan dibuat, katanya.

Ditanya mengenai ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Kepong hari ini, Ismail berkata keterangan Eskay itu adalah prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan kes video seks berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata kerjasama dengan pihak berkuasa dari negara serantau dan polis antarabangsa telah dipertingkatkan bagi mengawal dan mengekang sebarang ancaman luar yang boleh menggugat keamanan negara.

Beliau berkata langkah berwaspada dan bersiap sedia itu diambil dalam menghadapi sebarang ancaman yang kemungkinan bakal dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu ekoran laporan pembunuhan pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden, dua hari lepas. "Kita telah bekerjasama dengan Polis Asean dan Interpol... langkah ini dibuat kerana ini merupakan ancaman bersifat global dan kita perlu memantau serta berwaspada dalam situasi ini," katanya. Beliau berkata pihaknya telah menempatkan anggota polis di lokasi-lokasi strategik dan berkepentingan Amerika Syarikat di seluruh negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan