Perkhidmatan Kereta Api Bukit Bendera Kembali Pulih - Berita Semasa | mStar

Perkhidmatan Kereta Api Bukit Bendera Kembali Pulih

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Operasi perkhidmatan kereta api Bukit Bendera kembali pulih pada Khamis setelah kerja-kerja membaiki alat penjana elektrik koc selesai.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Datuk Lee Kah Choon berkata perkhidmatan kereta api itu yang terganggu sejak petang Selasa lepas mula beroperasi 6.30 pagi ini.

"Operasi kereta api telah pulih dan kembali normal, Kerja-kerja membaik pulih berjalan dengan lancar serta siap sepenuhnya," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Kerosakan kereta api itu dipercayai akibat pelanggaran objek di landasan yang mengakibatkan alat penghawa dingin dan pintu automatik gagal berfungsi.

Beliau berkata ekoran kerosakan itu Perbadanan Bukit Bendera mengalami kerugian sebanyak RM20,000 sehari akibat terpaksa menghentikan kesemua operasi perkhidmatan kereta api berkenaan.

Lee berkata Perbadanan Bukit Bendera telah menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan perbuatan sabotaj.

Projek naik taraf kereta api oleh kerajaan persekutuan itu melibatkan kos RM73 juta bagi menggantikan kereta api jenis furnikular yang digunakan sejak 1923 dan ia telah dirasmikan pada Ahad lepas setelah perkhidmatannya dihentikan lebih setahun.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan