Pemimpin Korporat Wanita Perlu Asah Kemahiran Dan Tingkatkan Pengetahuan

Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ISTANBUL: Para pemimpin korporat wanita perlu mengasah kemahiran dan meningkatkan pengetahuan masing-masing bagi membolehkan mereka bersaing di dalam era globalisasi dan digital sekarang ini.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata usaha itu perlu dilaksanakan dengan segera kerana bursa saham di seluruh dunia kini lebih bersepadu.

"Apa yang berlaku di satu kawasan di dunia akan memberi kesan yang besar terhadap pihak lain," katanya semasa berucap pada pembukaan Bursa Saham Istanbul di sini, Rabu.

Menurutnya, wanita kini memainkan peranan penting di dalam bursa saham dan turut menyumbang di segi kemajuan ekonomi negara masing-masing.

Dengan itu, katanya para pemimpin korporat wanita perlu menunjukkan prestasi yang baik syarikat masing-masing kepada para pelabur dan memastikan pematuhan amalan yang baik dan tadbir urus.

Dalam hubungan ini, mereka boleh memperkayakan nilai syarikat masing-masing melalui Bursa Saham, katanya.

"Sebagai pemimpin perbadanan, wanita perlu juga terlibat dengan Bursa Saham kerana persepsi dan penilaian para pelabur dicerminkan melalui harga saham," katanya.

Di Malaysia, Rosmah berkata wanita turut menyumbang mengembangkan pasaran saham dan menjadikannya lebih dinamik dan boleh mencapainya apabila mereka menempatkan diri mereka sebagai pemilik atau pengurus kanan syarikat broker saham, peniaga saham atau remisiers, pengurus dana, penganalisis pasaran dan pengawal atur.

"Sebagai usahawan, ramai wanita telah menubuhkan syarikat broker saham pada peringkat awal pembangunan pasaran saham Malaysia dan mereka telah membina perniagaan yang berjaya dan menjadi peneraju pasaran," katanya.

Menurut Rosmah, Bursa Saham tidak akan menjadi cergas tanpa peniaga saham atau remisiers dan penganalisis pasaran.

Kini, katanya wanita merupakan kira-kira satu pertiga atau 32 peratus daripada remisiers bertauliah di dalam Pasaran Saham Malaysia.

"Ramai daripada penganalisis yang membuat penilaian saham yang baik ialah wanita. Wanita juga menduduki kedudukan sebagai pengawal atur pasaran modal," katanya. Beliau juga menyeru wanita Turki dan Malaysia yang terlibat di dalam bursa saham kedua-dua negara supaya bekerjasama dan meningkatkan peranan dan sumbangan di dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara masing-masing.

Di Bursa Saham Istanbul itu pada Rabu, Rosmah diberi penghormatan untuk membunyikan loceng pada jam 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) untuk memulakan dagangan. Beliau juga telah ditemu bual oleh Turkish Bloomberg.

Sementara itu, Pengerusi Bursa Saham Istanbul Huseyin Erkan menawarkan bantuan untuk membantu broker wanita meningkatkan penyertaan di dalam sektor kewangan.

"Kami sememangnya telah mempunyai hubungan yang baik dengan Bursa Malaysia. Pengawal atur kami telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pengawal atur Malaysia dan kini mempunyai hubungan kerjasama yang baik," katanya.

Rosmah, yang sedang melakukan lawatan tiga hari ke Turki, sempena Sidang Kemuncak Wanita 2011 dari Khamis hingga 7 Mei, kemudiannya telah mengunjungi isteri Perdana Menteri Turki, Emine Erdogan di Pejabat Perdana Menteri di Istana Dolmabahçe. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan