Ujian Poligraf Bukan Isu - Anwar

Diterbitkan: Selasa, 3 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menolak cabaran Datuk Shazryl Eskay Abdullah supaya bersama-sama menjalani ujian poligraf bagi memastikan beliau tidak bercakap bohong dalam isu video seks yang didakwa membabitkan dirinya.

Beliau menyifatkan isu tersebut sebagai satu perkara yang tidak perlu diberi perhatian.

“Itu (ujian poligraf) bukan isunya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini, Selasa.

Anwar juga enggan menjawab sebarang pertanyaan yang dibangkitkan oleh pemberita mengenai ujian poligraf tersebut sebaliknya beliau membiarkan pimpinan PR menjawab bagi pihaknya.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyifatkan sumpah laknat yang dilakukan oleh Shazryl Eskay Jumaat lalu sebagai sumpah yang tidak betul.

“Dia (Shazryl Eskay) sudah melakukan sumpah yang salah. Kalau sumpah mesti kena pakai hukum yang ada dalamnya (al-Quran), tapi dia tidak pakai,” katanya.

Beliau berkata, ada perkara yang lebih besar perlu diberi perhatian dan bukannya ujian poligraf tersebut.

Ditanya sama ada sumpah yang dilakukan oleh Shazryl Eskay itu sah atau tidak, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata: “Tidak betul... tidak betul, angkat kitab sahaja tapi hukum di dalam tidak pakai.”

Pada Isnin, Shazryl Eskay telah menyatakan kesediaannya mengambil ujian poligraf bagi memastikan beliau tidak bercakap bohong dalam isu video seks yang didakwa melibatkan Anwar.

Bagaimanapun beliau menegaskan akan hanya menjalani ujian poligraf itu sekiranya Ketua Pembangkang itu turut sama menjalani ujian tersebut.

“Saya mahu prosedur itu disiarkan secara langsung di televisyen. Saya mahu dunia lihat sesiapa yang benar dan berbohong,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Datuk Husam Musa mencadangkan agar trio Datuk ‘T’ menjalani ujian poligraf bagi membuktikan mereka bercakap benar.

Shazryl Eskay; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim pada 21 Mac lalu mendedahkan kepada sekumpulan wartawan rakaman video kontroversi berkenaan.

Anwar kemudian membuat laporan polis menafikan bahawa beliau adalah pelaku dalam rakaman itu.

Husam yang dipetik dari sebuah akhbar berkata, Datuk 'T' perlu menjalani ujian berkenaan bagi membuktikan bahawa mereka tidak melakukan pendedahan semata-mata untuk kepentingan politik murahan mereka.

Mengenai Kabinet bayangan yang diumumkan oleh PR Sarawak, baru-baru ini, Anwar berkata senarai tersebut telah pun dipersetujui oleh semua parti komponen PR.

“Semua pimpinan parti di Sarawak telah bersetuju supaya senarai nama itu diisytihar dan ia masih dibincangkan lagi. Walaupun PAS tidak ada kerusi di Sarawak tapi atas semangat muafakat kita masih lagi turut sama berbincang mengenainya,” katanya.

Ahad lalu, PR Sarawak mengumumkan pembentukan Kabinet bayangan mereka sebagai persiapan untuk menghadapi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka diadakan bulan depan.

Pembentukan Kabinet bayangan yang mengandungi 15 portfolio itu menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mendominasi 12 daripadanya dengan Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Ho Leng ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, penubuhan Kabinet bayangan yang berkuat kuasa hari ini disertai 16 anggota iaitu 15 ADUN pembangkang yang menang pada pilihan raya negeri lalu serta seorang wakil PAS.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan