Sarawak Cadang Wujud Pusat Sehenti Bagi Pendaftaran Taska Baru

Diterbitkan: Selasa, 3 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Sarawak sedang mengkaji kemungkinan untuk menwujudkan Pusat Sehenti bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak baru di negeri ini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata prosedur sedia ada boleh ditingkatkan berikutan kemunculan taska-taska baru di bandar-bandar utama di negeri ini.

Kini proses pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak yang baru telah dipendekkan dalam tempoh setahun serta kos untuk memulakan operasi diturunkan berikutan penghapusan bayaran premium oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

"Ini boleh menggalakkan lagi pemilik mendaftarkan taska mereka dengan kerajaan supaya keselamatan dan kualiti kesihatan di sekitar taska-taska terbabit dapat dipantau," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan geran kerajaan berjumlah RM73,000 kepada tujuh persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di pejabatnya di sini, Selasa.

Beliau berkata taska baru di Sarawak perlu didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan proses pendaftaran untuk membolehkannya beroperasi memerlukan kelulusan pelbagai jabatan kerajaan seperti bomba dan Jabatan Tanah dan Survei.

Pemilik taska di negeri ini yang masih belum mendaftar tidak perlu bimbang akan prosedur mungkin mengambil masa terlalu lama kerana setiap jabatan sudah mempunyai pegawai ditetapkan khas bagi tujuan itu, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan