Kemala Dinobat Sasterawan Negara ke-11

Diterbitkan: Selasa, 3 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Penyair Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah dinobatkan sebagai penerima Augerah Sastera Negara ke-11 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan penganugerahan berprestij itu kepada Ahmad Kamal atau nama penanya, Kemala di sini pada Selasa berkata, karya-karya tokoh tu bermutu tinggi, dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan.

"Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara.

"Sekretariat Anugerah Sastera Negara telah menerima sebanyak 14 pencalonan iaitu lima pencalonan baru sehingga tarikh tutup pencalonan pada 31 Mei tahun lalu.

"Sembilan calon daripada pencalonan terdahulu juga telah dipertimbangkan oleh panel penilai. Panel Penilai Anugerah Sastera Negara Ke-11 dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Anugerah Sastera Negara Ke-11, di sini.

Anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Malaysia dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kemala dilahirkan di Gombak, Selangor mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas, mula menulis sejak di sekolah rendah lagi dan kini merupakan Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia.

Katanya, tokoh berkenaan telah menghasilkan sebanyak 11 buah buku kumpulan puisi, antologi puisi (25), buku kajian sastera (10), buku kumpulan (4), drama (4), buku cerita kanak-kanak (3) dan lebih 50 esei serta kritikan sastera.

Tambah beliau, karya-karyanya terutama puisi telah diterjemahkan dalam banyak bahasa China, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.

"Gaya, sebutan dan rentak suara pembacaannya menjadi ikon dan ikutan generasi muda. Tokoh ini juga aktif membentangkan kertas kerja di dalam dan luar negara," katanya.

Tambah Muhyiddin, tokoh itu mendapat banyak anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah S.E.A Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

"Tokoh ini telah mengasaskan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986)," ujarnya.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan