Ibu Bapa Perlu Ada Ilmu Kesan Kecacatan Anak Di Peringkat Awal

Diterbitkan: Selasa, 3 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ibu bapa harus mempunyai ilmu dan pengetahuan asas untuk membolehkan mereka mengesan kemungkinan berlakunya kecacatan pada anak-anak ketika masih di peringkat awal.

Beliau berkata, dengan adanya ilmu, ibu bapa juga boleh mengambil tindakan pencegahan yang perlu untuk mengelak kecacatan di kalangan kanak-kanak menjejaskan potensi dan kebolehan mereka.

Katanya daripada segi tindakan pencegahan, ibu bapa mesti faham faktor-faktor yang membawa risiko tinggi yang boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kecacatan.

"Contoh punca besar yang sering dipandang ringan ialah bila anak-anak demam panas, ada ibu bapa yang tidak mengambil tindakan untuk menurunkan suhu badan mereka, terapinya cukup mudah iaitu dengan meletakkan ais di dahi mereka sudah memadai.

"Tetapi kerana tidak sedar dan tiada pengetahuan bahawa demam panas dengan suhu yang tinggi boleh menyebabkan kecacatan pada kanak-kanak, jadi dalam banyak kes tindakan mudah seperti ini pun tidak dilakukan oleh ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Setia Bakti "Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan kepada Kanak-Kanak" di Stadium Indera Mulia, di sini, Selasa.

Najib berkata, apabila ilmu asas seperti itu tidak dimiliki oleh ibu bapa, boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak yang mempunyai masa depan yang cerah berkesudahan menjadi cacat, termasuk daripada segi kebolehannya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sehingga kini sebanyak 428 buah pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) telah diwujudkan di seluruh negara, di mana lebih 14,000 kanak-kanak istimewa termasuk yang cacat anggota, pendengaran dan penglihatan sedang menerima bimbingan, didikan serta kemahiran bagi membantu mereka meneruskan penghidupan secara berdikari ketika dewasa kelak.

Sementara hampir 4,500 golongan istimewa itu yang berada di rumah masih mendapat perhatian dan bimbingan daripada para petugas pusat PDK yang membuat lawatan ke rumah mereka.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya masih banyak kanak-kanak kelainan upaya yang tidak berpeluang untuk mendapatkan bimbingan di pusat-pusat berkenaan hanya disebabkan ada para ibu bapa yang mempunyai perasaan malu dan sikap berserah sahaja dan kurang berminat untuk melibatkan anak-anak mereka di pusat-pusat PDK.

"Sewajarnya perasaan sedemikian tidak harus wujud kerana berdasarkan pendapat pakar-pakar perubahan, kanak-kanak kelainan upaya ini berpotensi untuk diberi latihan, didikan dan bimbingan di dalam sesuatu bidang kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka menjadi individu yang produktif serta berupaya menyumbang kepada masyarakat dan negara.

"Sekiranya peluang itu diabaikan, amat sayang kerana kanak-kanak tersebut akan tidak berupaya untuk meneruskan kehidupan secara berdikari. Maka yang demikian, saya berharap agar menerusi Program Semai Bakti ini, para ibu bapa dan penjaga akan diberi pengetahuan dan pendedahan sebaik mungkin untuk memahami potensi yang boleh diterokai oleh anak-anak istimewa ini," katanya.

'Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kanak-Kanak' yang diterajui Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di bawah Program Semai Bakti, merupakan kempen berterusan dan bakal dilaksanakan di seluruh negara. Dengan slogan 'Mencegah Mudah Dari Memulih', matlamat kempen itu ialah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda mengenai pencegahan awal daripada berlakunya kecacatan pada kanak-kanak.

Najib berkata, tema kempen itu amat bertepatan kerana jika seluruh pencegahan awal dapat dilakukan, akan dapat mengelakkan ribuan rakyat negara ini daripada mengalami kecacatan sepanjang hayat.

Katanya usaha intevensi awal itu juga akan lebih berjaya sekiranya Kementerian Kesihatan dapat menghantar pakar ke sekolah-sekolah untuk mengesan abnormaliti di kalangan pelajar sekolah. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan