Pas Nafi Anggota Bahagian Kuala Kedah Keluar Parti - Berita Semasa | mStar

Pas Nafi Anggota Bahagian Kuala Kedah Keluar Parti

Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: PAS Kedah pada Isnin menafikan sekumpulan 225 orang yang menyerahkan borang menyertai Umno bahagian Kuala Kedah semalam, adalah anggota parti itu.

Sehubungan itu, Naib Yang Dipertua PAS Kuala Kedah Nasir Mustafa berkata PAS bercadang mengambil tindakan undang-undang untuk menyekat pihak tertentu daripada mengaku sebagai anggota parti itu apabila mengisytiharkan keluar parti.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Nasir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kubang Rotan, berkata laporan mengenai 225 anggota PAS Kuala Kedah menyerahkan borang untuk menyertai Umno bahagian Kuala Kedah itu adalah kurang tepat.

Sementara itu, Naib Ketua Umno bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Muthalib Haron, ketika dihubungi Bernama berkata kumpulan tersebut adalah penyokong PAS dan sebahagian daripadanya merupakan anggota PAS berdaftar.

"Kita turut menyelidik mereka yang memohon menyertai Umno, bukan menerima dan membuat kenyataan tanpa usul periksa," katanya.

Pada Ahad, 225 anggota PAS Kuala Kedah yang mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mengisytiharkan keluar parti itu dan menyertai Umno.

Ahmad Marzuki, Ketua PAS cawangan Lahar Buluh, Kuala Kedah, mengetuai kumpulan itu menyerahkan borang menyertai Umno kepada Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah Datuk Latt Shariman Abdullah.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan