Nur Ain Nasuha Akhirnya Pulang Ke Pangkuan Keluarga

Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU TERENGGANU: Nur Ain Nasuha Mohd Zabri, 18, yang menghilangkan diri dari rumah hampir tiga minggu lalu, akhirnya pulang Ahad.

Misteri kehilangannya sejak 11 April itu terjawab apabila gadis itu menghubungi keluarganya setelah terlihat gambarnya terpampang di akhbar dan turut disiar di televisyen.

Ibunya Nor Ismidar Idris, 35, ketika ditemui Bernama berkata sepanjang kehilangannya, anak sulung dari lima beradik itu bekerja di sebuah kedai makan di Kuantan, Pahang.

Nur Ain Nasuha yang dipanggil Along menumpang di rumah keluarga angkatnya di Kuantan yang tidak tahu dia sebenarnya menghilangkan diri dari rumah.

Nor Ismidar berkata Along menghubunginya dua hari lalu setelah mengetahui keluarganya mencarinya di merata tempat dan telah membuat laporan polis mengenai kehilangannya.

Katanya sebaik mengetahui lokasi sebenar anaknya berada, saudaranya yang tinggal di Pahang mencari Nur Ain Nasuha di tempatnya bekerja dan membawanya pulang.

"Along meminta maaf kerana membuat saya risau. Katanya dia keluar dari rumah kerana dia nak bekerja dan nak berdikari. Dia kata akan pulang bila telah berjaya nanti.

"Lega rasanya bila dapat tahu dia selamat," kata ibunya di rumahnya di Kampung Durian Mas di sini.

Nur Ain Nasuha keluar dari rumah sehelai sepinggang dan turut membawa semua sijil-sijilnya.

Gadis itu pada mulanya memberitahu keluarganya dia ingin ke bandar Kuala Terengganu dan dihantar sendiri ayahnya ke pondok menunggu bas pada sebelah pagi.

Namun dia tidak pulang-pulang sehingga keluarganya membuat laporan polis pada malam itu.

Selepas dua hari kehilangannya, Nur Ain Nasuha menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan kepadanya ibu bapanya supaya tidak mencarinya.

Mesej itu antara lain berbunyi: "mak dan ayah jaga diri baik-baik, jangan cari Along, Along selamat. Along akan balik setelah Along berjaya nanti".

Bagaimanapun Nur Ain Nasuha tidak memaklumkan lokasi dia berada.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan