Menteri Luar India Lakukan Lawatan Tiga Hari Ke Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Luar India S.M Krishna akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, bermula Isnin.

Dalam kenyataannya, Suruhanjaya Tinggi India berkata lawatan Krihna, yang dibuat enam bulan selepas kunjungan Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh ke Malaysia, bertujuan membawa hubungan dua hala India-Malaysia ke arah pembentukan gandingan strategik seperti yang disuarakan oleh Manmohan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lepas.

Pada Selasa, Krishna dan rakan sejawatan beliau dari Malaysia Datuk Seri Anifah Aman, akan mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) India-Malaysia Kelima.

Beliau juga dijadualkan mengunjungi Najib dan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Anifah.

Mengenai JCM, kenyataan itu berkata mesyuarat berkenaan akan "mengkaji semula secara komprehensif hubungan dua hala" dan menilai kemajuan yang telah dicapai berhubung keputusan yang dibuat pada mesyuarat sebelum ini serta isu berkaitan perdagangan dan pelaburan, pembangunan infrastruktur, teknologi maklumat, pendidikan, pelancongan, kebudayaan, hubungan rakyat dengan rakyat serta pertahanan dan keselamatan.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan