BN Tetap Perjuangkan Kepentingan Rakyat Berbilang Kaum

Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat berbilang kaum di negara ini dan tidak akan meminggirkan parti-parti komponen lain walaupun ditakdirkan PAS menyertai parti itu.

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata BN tidak mengharapkan PAS menyertainya namun saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya parti itu meninggalkan pakatan pembangkang adalah atas dasar perjuangan sesama kaum Melayu yang beragama Islam.

"Kita tegas dalam Umno, perjuangan kita dan 1Malaysia konsisten. Tak ada masalah. Kita berjuang untuk agama, bangsa dan negara dan pada masa yang sama kita jaga semua," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Cheras di sini, Ahad.

Khairy berkata 'pintu' BN sentiasa terbuka untuk PAS.

"Kalau Pas boleh bekerjasama dengan DAP yang satu ketika dulu digelarnya sebagai syaitan, apatah lagi dengan rakan umat Islam dalam Umno," katanya.

Perdana Menteri dalam lawatannya ke Terengganu semalam berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah memperjuangkan Islam.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam pada itu sekali lagi menegaskan pendirian parti itu untuk tidak akan keluar daripada pakatan pembangkang.

Di ALOR SETAR, Umno Kedah menyokong penuh jika PAS keluar daripada pakatan pembangkang dan bergerak sendiri atau menyertai BN bagi memastikan nasib orang Melayu dan Islam terbela.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pemimpin PAS perlu sedar perjuangan mereka hanyalah sia-sia jika mereka terus berada dalam pakatan itu yang hanya menguntungkan pihak DAP sahaja.

"Kita tahu PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam tetapi DAP menentang Islam. Jadi hasrat PAS tidak akan tercapai sekiranya mereka bersekongkol dengan DAP.

Mengenai kenyataan MCA yang mahu menolak semua jawatan dalam Kabinet dan negeri jika tiada sokongan oleh kaum itu pada pilihan raya umum akan datang, Ahmad Bashah berkata masyarakat Cina perlu memberi sokongan semula kepda parti itu bagi mamastikan wakil mereka terus kekal berada dalam Kabinet pusat, negeri dan kerajaan tempatan.

"Kalau wakil mereka tidak ada dalam Kabinet sukar untuk kerajaan mengetahui permasalahan yang dihadapi".

Di KOTA BAHARU, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan menyokong saranan Najib yang meminta pengundi Cina membuat pilihan sama ada mahu menyokong MCA pada pilihan raya umum akan datang atau kehilangan wakil dalam kerajaan.

Setiausahanya, Datuk Bazlan Baharuddin berkata ianya perlu kerana kerjasama yang dipupuk sejak 54 tahun lalu memerlukan sokongan semua kaum terutama masyarakat Cina.

"Bagaimanapun, kalau ada segelintir kaum Cina yang tidak mahu kepada perpaduan tidak boleh buat apa, bagi kita apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri jelas, Umno mahu penganggihan kuasa dengan kaum itu terus kekal," katanya.

Bazlan berkata apa yang diharapkan oleh Perdana Menteri ialah untuk melihat kaum Cina kekal bersama dalam BN yang dibentuk sekian lama dan telah menjanjikan kuasa memerintah kepada semua kaum.

Di IPOH, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata PAS perlu menerima hakikat kedudukannya dalam pakatan pembangkang yang jelas tidak menguntungkan mereka dan sewajarnya menilai semula 'kerjasama' itu dengan pemikiran yang matang.

"Tidakkah mereka (PAS) tidak boleh fikirkan dalam tempoh ini siapa yang mendapat manfaatnya, walaupun kita tahu masing-masing cuba mencari kesempatan, PAS mengharapkan sesuatu daripada DAP, manakala DAP mengharapkan sesuatu daripada Pas, tapi akhirnya yang menang nampaknya DAP. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pekerja Cuepacs peringkat kebangsaan di sini.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam pakatan pembangkang, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan