Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara Dibentang Pada Sesi Parlimen Akan Datang

Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara pada sesi Parlimen akan datang, kata menteri berkenaan Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata apabila dipersetujui dan diluluskan, Majlis itu boleh membuat penyelarasan berhubung gaji minimum untuk sektor swasta mengikut peruntukan undang-undang.

"Melalui Majlis itu, kita akan membuat pengumuman tertentu yang perlu supaya gaji minimum sektor swasta adalah selaras dengan kos kehidupan semasa. Majlis ini juga mempunyai kuasa untuk memastikan apa yang ditetapkan dipatuhi oleh sektor swasta," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Cuepacs peringkat kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan gaji minimum sektor swasta.

Sebelum ini, kajian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Kadar gaji bagi pelbagai sektor pembuatan misalnya elektrik dan elektronik adalah RM500 hingga RM550; tekstil RM500 hingga RM600; perabot antara RM550 dan RM700; plastik RM550 hingga RM650 serta sarung tangan getah antara RM500 dan RM650.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam, tumpuan kepada penyelarasan dan penstrukturan semula sistem penyampaian sedia ada perlu dilakukan.

Katanya kerajaan menyedari ada beberapa aspek perlu diberi perhatian dan diperhalusi dalam sistem penyampaiannya untuk mengurangkan kerenah birokrasi.

"Kita berharap pegawai dan petugas dalam perkhidmatan awam menerima perkembangan baru dalam suasana yang baik dan melalui pendekatan itu mereka boleh meningkatkan tahap praduktiviti mereka," katanya.

Pada sambutan itu, Pusat Perubatan Universiti Malaysia memenangi anugerah Majikan Prihatian Cuepacs dan Cuepacs Bahagian Wilayah Persekutuan memenangi anugerah Cuepacs Bahagian Contoh dengan kedua-dua menerima sijil penghargaan, wang tunai dan trofi.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan