Ekuinas Berjaya Meningkatkan Nilai Ekuiti Bumiputera Sebanyak RM483.2 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 29 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tyun Razak berkata Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) berada pada landasan yang betul untuk mencapai objektif meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera untuk tahun pertama operasi sebanyak RM483.2 juta atau 1.28 kali ganda daripada jumlah modal RM380.6 juta yang dilabur olehnya.

Perdana Menteri berkata peningkatan itu terhasil daripada jumlah pelaburan ekuiti yang dilaksanakan oleh Ekuinas serta peningkatan nilai saham yang berjaya dicipta untuk Ekuinas dan kesemua pemegang saham Bumiputera di dalam syarikat portfolio ekuinas.

"Pencapaian awal ini membuktikan bahawa keputusan Kerajaan untuk menguna pakai pendekatan yang lebih inovatif dan kreatif ke arah melaksanakan dasar affimatif untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera secara saksama kini membuahkan hasil yang diharap-harapkan," katanya semasa mengumumkan pencapaian tahun pertama Ekuinas.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata dari segi prestasi dana pula, Ekuinas telah berjaya mencatat pulangan kasar portfolio sebanyak RM55.3 juta bagi Ekuinas Direct (Tranche 1) Fund di bawah aktiviti pelaburan langsung.

Ini mewakili kadar pulangan dalaman (IRR) kasar tahunan sebanyak 53.1 peratus dan juga IRR bersih tahunan sebanyak 24.3 peratus, yang melebihi sasaran kewangan minima dan aspirasi jangka panjang syarikat masing-masing sebanyak 12 peratus dan 20 peratus, katanya.

Kerajaan telah menyalurkan dana permulaan berjumlah RM500 juta kepada Ekuinas sebagai peruntukan awal daripada RM5 bilion seperti yang telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK9) dan RMK10.

Dengan peruntukan tersebut, Ekuinas telah berjaya melaksanakan empat pelaburan langsung di dalam syarikat-syarikat (Bumiputera/Malaysia) yang berpotensi tinggi di dalam sektor pengguna, minyak & gas, perkhidmatan dan juga pendidikan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM482.6 juta.

Bersama dengan modal dari rakan pelabur Ekuinas, ini telah menyaksikan modal keseluruhan sebanyak RM602.4 juta dilaburkan secara langsung ke dalam ekonomi Malaysia pada tahun lalu yang memberi impak positif kepada negara.

Ekuinas juga telah berjaya melaksanakan fasa pertama Program Penyumberan Luarnya di mana modal tambahan sebanyak RM513 juta telah berjaya dikumpul oleh Ekuinas dan dari sumber modal persendirian.

Ini bakal dilaburkan di dalam syarikat-syarikat Malaysia bersaiz kecil hingga sederhana yang berpotensi tinggi.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan