Kementerian Bimbing Pelajar Pilih Institusi Pengajian Tinggi Swasta - Berita Semasa | mStar

Kementerian Bimbing Pelajar Pilih Institusi Pengajian Tinggi Swasta

Diterbitkan: Khamis, 28 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi bakal melancarkan kempen seluruh negara pada Jun ini untuk membimbing orang ramai dalam memilih institusi pengajian tinggi swasta.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Institut Pengajian Tinggi Swasta) Jabatan Pengajian Tinggi, Datin Profesor Dr. Ir Siti Hamisah Tapsir berkata, ini penting untuk mengelakkan para pelajar dan ibu bapa masing-masing tertipu dengan tawaran palsu.

Tawaran sedemikian, katanya, datang dalam bentuk gimik pengiklanan yang antara lain menawarkan penginapan percuma serta komputer riba.

"Kadang-kala, ibu bapa dan para pelajar terperangkap dengan tawaran sedemikian," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

"Ini amat dikesali kerana mereka kerap gagal menyedari bahawa kos komputer riba dan penginapan telah pun dimasukkan dalam kos pengajian yang dibayar oleh mereka."

Siti Hamisah berkata, kementerian ingin menghentikan tawaran-tawaran palsu dalam iklan oleh pihak swasta.

Menurutnya, satu jabatan khas dalam kementerian ditubuhkan khas untuk memantau isu terbabit dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang menipu orang ramai.

"Sekiranya institusi pengajian swasta itu mendakwa ia adalah yang terbaik dalam sesuatu aspek, ia harus mampu menyokongnya," tambahnya.

Siti Hamisah menambah, pihak tersebut juga dikehendaki menyediakan penerangan terperinci mengenai tawarannya termasuk yuran kursus pada laman web masing-masing.

Jelasnya, arahan itu dapat mengelakkan timbulnya "kos tersembunyi".

Pendirian tegas itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk mempertahankan dan meningkatkan kualiti institusi pengajian tinggi di negara ini.

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan