Betulkah Semua Cina Sarawak Benci BN?

Diterbitkan: Khamis, 28 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah seminggu berlalu, keputusan pilihan raya negeri Sarawak masih menjadi topik perbincangan khususnya mengenai gelombang pengundi Cina yang dilihat telah menolak Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan wujudnya trend polarisasi seperti yang dipamerkan oleh pengundi Cina di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, analisis menunjukkan bahawa pengundi Cina di Sarawak tidak menolak BN sepenuhnya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 baru-baru ini, pengundi Cina di kawasan bandar dikatakan mengundi DAP untuk mempamerkan kebosanan dan rasa tidak puas hati mereka yang begitu mendalam terhadap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mereka lihat gagal memperjuangkan kepentingan mereka.

Ramai ahli politik, pemimpin masyarakat dan individu Cina di negeri itu berkata mereka tidak faham kenapa ada ahli politik tertentu cuba membuat tafsiran tentang keputusan pilihan raya negeri itu berdasarkan kaum.

Kaum Cina di Sarawak berkata kebanyakan orang luar membuat andaian silap mengenai keputusan pilihan raya berkenaan kerana mereka tidak memahami gaya politik tempatan.

Mereka berkata kebanyakan orang Cina mengundi pembangkang, terutama DAP, untuk memberi isyarat jelas bahawa mereka sudah bosan dengan perkara tertentu, termasuk faktor yang melibatkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan timbalannya Tan Sri Dr George Chan.

"Pertama ialah untuk memprotes kedudukan Taib yang didakwa menguasai begitu banyak kepentingan perniagaan, dan kedua, untuk menunjukkan protes mereka terhadap SUPP di bawah pimpinan Chan yang tidak memainkan peranannya untuk menolong rakyat yang diwakilinya," kata seorang pemimpin masyarakat dari Sibu.

Beliau berkata sekiranya benar semua orang Cina benci kepada BN, sudah tentu mereka telah bertindak secara habis-habisan untuk memastikan BN tidak mendapat majoriti dua pertiga, memandangkan ramai juga pengundi Bumiputera menolak BN di sesetengah kawasan.

"Ia lebih merupakan protes mengenai isu tempatan, bukan terhadap BN secara menyeluruh. Jika tidak, tentulah tidak terdapat lebih 20 peratus undi kaum Cina yang berpihak kepada BN," katanya.

Isu terkini mengenai Taib, yang mungkin merupakan antara ahli politik paling berpengalaman di Malaysia, ialah berkaitan begitu banyak kepentingan perniagaan yang dikuasai oleh keluarganya dan perkara ini menjadi perhatian utama pengundi, khususnya dari kawasan bandar dan pinggir bandar.

Satu lagi perkara yang dijadikan isu besar oleh pembangkang pada pilihan raya baru-baru ini ialah tempoh Taib menerajui negeri itu yang telah begitu lama dan wujudnya gesaan secara senyap dalam kalangan pelbagai pihak agar beliau berundur. Malah, selepas pilihan raya itu, isu berkenaan masih hangat.

Seorang lagi pemimpin masyarakat Cina berkata kebanyakan pengundi Cina tidak menentang BN secara sepenuhnya, dan menurut beliau : "Apa yang kami mahu ialah agar beberapa ketidakadilan dan keadaan yang merugikan kami, diperbetulkan. Kami hanya orang biasa yang bersungut tentang perkara yang dianggap wajar."

Di sebalik semua itu, kata beliau, Taib tetap berjaya menerajui BN untuk mengekalkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri dengan agak mudah.

Malah, parti pimpinan beliau, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, menang kesemua 35 kerusi yang ditandinginya dengan memperoleh 68.3 pertus undi popular.

Pengundi Cina juga, kata pemimpin masyarakat itu, mengharapkan agar kebimbangan mereka apabila melihat anak mereka terpaksa meninggalkan Sarawak untuk mencari rezeki di tempat lain dan penyelesaian dicari kepada iklim perniagaan yang tidak memberangsangkan.

"Dalam hal ini, SUPP dilihat gagal menyalurkan kebimbangan sebenar dan sungutan pengundi yang tinggal di kawasan tradisinya," katanya.

Pemimpin Cina Sibu, Temenggong Vincent Lau, membuat kesimpulan menarik mengenai anggapan masyarakat Cina di Sarawak terhadap SUPP dengan berkata: "Setiap kali mereka (SUPP) membuat keputusan, ia sama ada silap atau tidak mempunyai arah tuju politik. Itulah sebabnya orang hilang keyakinan terhadap parti itu."

Lau berkata para pemimpin SUPP perlu melakukan muhasabah diri dan berhenti daripada bercakaran sesama mereka kerana perbuatan itu telah menjerumuskan parti berkenaan ke dalam satu demi satu krisis dan akhirnya menyebabkan ia mencatat pencapaian buruk pada pilihan raya negeri kali ini.

"Sekiranya mereka terus bergaduh sesama sendiri, maka parti itu mungkin terpaksa tutup kedai. Jika ini terjadi, ia memalukan masyarakat Cina di negeri ini dan sudah tentulah, perkara sebegitu tidak ingin dilihat oleh rakyat," katanya.

Lau berkata berdasarkan pengamatannya, para pemimpin, pekerja parti dan anggota peringkat akar umbi dalam SUPP, telah gagal bekerja sebagai suatu pasukan sejak beberapa tahun lepas dan inilah yang menyebabkan parti itu menjadi tidak berkesan dan dilihat sebagai "menipu rakyat."

Oleh itu, katanya, tidak hairanlah semakin ramai yang bosan dengan SUPP dan kegagalan parti itu menunaikan janjinya telah menyebabkan mereka berpaling tadah serta memberi undi kepada DAP.

Mungkinkah kewujudan sebuah parti baru berasaskan kaum Cina boleh menjadi jawapannya? - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan