SKMM Didesak Segerakan Siasatan Dalam Blog Muat Naik Video Seks

Diterbitkan: Rabu, 27 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) didesak menyegerakan siasatan bagi mengenal pasti identiti pemilik blog yang masih menyiarkan klip video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Blog www.papagomo.com pada Rabu memuat naik bahagian kedua rakaman video seks kontroversi yang dikaitkan dengan seorang pemimpin utama parti pembangkang.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Rozan Azen Mat Rasip berkata, SKMM bersetuju untuk membuka kertas siasatan berhubung aduan penyebaran klip video itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Beberapa blog sudah ditutup sejak aduan difailkan pada 5 April lalu tetapi blog www.pisau.net dan www.papagomo.com masih boleh diakses serta terus menyiarkan klip video itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Rozan berkata perbuatan penyebaran klip video itu di kalangan pemilik blog terbabit sengaja dilakukan untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti Anwar selaku pemimpin utama pakatan pembangkang.

"Oleh itu, kami mahu siasatan disegerakan untuk mengenal pasti bagaimana klip video yang sepatutnya dimiliki trio Datuk T dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dimuat turun di Internet di kalangan pemilik blog," jelasnya yang juga Naib Ketua Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Video hitam putih kurang dua minit itu bocor pada 4 April lalu dan dikeluarkan daripada YouTube tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Rozan berkata AMK tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan terhadap pemilik blog itu sekiranya klip video tersebut masih disiarkan.

Begitupun, tindakan susulan hanya akan diambil sekiranya SKMM berjaya mengenal pasti identiti individu terbabit.

"Saya tahu SKMM berdepan cabaran besar untuk mengenal pasti pemilik blog itu. Apapun, mereka perlu bekerja keras agar siasatan ini dapat diselesaikan dengan segera," tegasnya.

Rozan hadir ke pejabat SKMM bersama dua anggota pemuda AMK untuk memberi keterangan selama sejam berhubung aduan penyebaran video seks yang masih dalam siasatan pihak polis.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan