PNB Tidak Guna Duit Pelabur, Kata Muhyiddin

Diterbitkan: Rabu, 27 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Penganjuran pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan syarikat kumpulannya yang menelan belanja besar tidak melibatkan wang para pelabur yang diuruskan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Beliau berkata dana pelabur yang diuruskan PNB kini berjumlah 127 bilion unit yang dimiliki 10.4 juta pelabur adalah satu portfolio yang diurus secara berasingan dan tertakluk kepada pelbagai undang-undang khususnya Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

"Setelah lebih 30 tahun beroperasi, sudah pasti dana milik PNB telah bertambah dan berkembang iaitu hasil daripada keuntungan yang diperolehnya setiap tahun yang disimpan dan dilaburkan semula," kata beliau pada majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di sini Selasa.

Muhyiddin berkata dana milik PNB inilah yang digunakan untuk aktiviti pendidikan dan memberi manfaat kepada orang ramai sama ada pelabur mahupun bukan pelabur.

Beliau berkata tidak ada satu negara di dunia yang telah berjaya mengguna pakai model PNB ini sebagai satu instrumen untuk menyusun semula masyarakat dan melakukan transformasi minda secara besar-besaran.

"Saya dimaklumkan ramai delegasi daripada negara-negara membangun yang berkunjung ke PNB untuk mempelajari model PNB ini. Kalau adapun yang berjaya, mungkin di Fiji, yang mana pegawai-pegawai mereka telah datang ke PNB bagi tujuan latihan sangkutan dan telah menubuhkan satu struktur atau model yang mirip PNB iaitu Fijian Holdings Ltd," katanya.

Menurut beliau Fijian Holdings Ltd telah ditubuhkan bagi tujuan membantu kaum pribumi mereka yang agak ketinggalan dalam bidang ekonomi, bagaimanapun saiz dana yang diurus oleh mereka tidaklah besar berbanding dengan yang diuruskan oleh PNB.

Muhyiddin berkata pertumbuhan ekonomi yang tinggi merupakan antara faktor penting yang telah membantu negara melaksanakan model PNB dengan jayanya, seperti mana yang dinikmati sekarang.

Beliau berkata kemampuan PNB membayar dividen dan bonus melebihi RM82 bilion kepada pemegang unit amanah dalam tempoh tiga dekad yang lepas adalah bukti jelas akan kecergasan sektor swasta di Malaysia.

"Kejayaan PNB menggembleng dana berjumlah 127 bilion unit daripada orang ramai pula adalah manifestasi peningkatan pendapatan dan kekayaan rakyat hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang mapan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada dasar-dasar pengukuhan PNB pada masa depan dan tidak bercadang untuk menubuhkan entiti PNB.

"Setakat ini memang kerajaan tidak ada perancangan seperti itu (penubuhan PNB kedua) kerana apa yang kita ada sekarang sudah cukup baik," kata beliau.

MSAM yang berlangsung selama seminggu itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan