Azmin-Mustafa Dinasihat Henti Perang Mulut

Diterbitkan: Rabu, 27 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS diminta supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan kerjasama kedua-dua sekutu dalam Pakatan Rakyat.

Peringatan itu merujuk kepada perselisihan antara Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berhubung tindakan Mohamed Azmin yang melenting apabila wujud pihak yang enggan membela Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin kedua-dua parti berkenaan turut dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan mainan media yang hanya akan menimbulkan lebih banyak ketegangan.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, sebagai pemimpin senior dalam politik, Mohamed Azmin dan Mustafa seharusnya bijak mengeluarkan kenyataan agar tidak mudah dimanipulasikan media.

"Kedua-dua pemimpin berkenaan sepatutnya tahu mengenai apa yang patut dan apa yang tidak patut dicakapkan kepada media.

"Isu berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan lagi," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perang mulut Mustafa kepada Mohamed Azmin yang disifatkannya tidak mempunyai ketahanan politk.

Malah menurut Mustafa, pemimpin nombor dua PKR itu berada dalam keadaan yang sangat tertekan kerana seringkali melenting secara berlebihan apabila berhadapan dengan sesuatu isu.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketegangan antara Mustafa dan Mohamed Azmin hanya mainan media yang disifatkan sebagai 'perkara kecil' dan bukan menjadi masalah besar kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, isu berkenaan tidak perlu memberi kesan kepada hubungan PAS-PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Ini perkara kecil sahaja, tak perlu diperbesarkan. Lagipun ia bukan masalah besar hingga boleh menggangu gugat kerjasama baik selama ini," katanya.

Azmin yang dipetik daripada laman Twitternya baru-baru ini yang menyifatkan Mustafa seolah-olah seperti 'jaguh kampung yang tidak relevan tapi mahu perhatian'.

Ini berikutan laporan media sebelum itu yang melaporkan kenyataan Mustafa mengenai kesediaan Pas mengkaji semula masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang jika siasatan pihak berkuasa membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lelaki dalam rakaman video seks.

Mustafa bagaimanapun menafikan pernah membuat kenyataan sedemikian dan mendakwa media telah salah lapor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan