Rais Akan Beri Keterangan Kes Saman Terhadap Penulis Blog

Diterbitkan: Selasa, 26 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim akan memberi keterangan dalam kes saman beliau terhadap penulis blog berhubung satu artikel yang didakwa memfitnah beliau yang disiarkan dalam laman blognya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tiga hari bermula 4 Julai depan untuk mendengar kes itu. Beliau menetapkan tarikh itu selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Azad Bashir yang mewakili Rais dan Gan Chee Wei yang mewakili penulis blog, Amizudin Ahmad.

Bercakap kepada pemberita, Azad berkata saksi utama daripada pihak plaintif adalah Rais sendiri.

Beliau juga berkata mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak untuk menyerahkan kepada mahkamah dokumen berkaitan berhubung kes itu sebelum 23 Mei dan menetapkan 25 Mei untuk sebutan kedua-dua pihak meneliti dokumen berkenaan sebelum perbicaraan bermula.

Pada 31 Jan, Rais memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog Amizudin, bersama gambar Rais, pada atau sekitar 28 Dis tahun lepas.

Beliau antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk selain perintah terhadap defendan supaya mengeluarkan dari blognya artikel itu dan melarangnya dari terus menyiarkannya.

Pada 2 Feb lepas, Rais memperoleh injunksi daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Amizudin Ahmat mengeluarkan (membuang) artikel yang memfitnah beliau daripada blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Amizudin pada 21 Mac lalu bersetuju berhenti daripada menyiarkan artikel itu yang didakwa memfitnah menteri itu.

Dalam kenyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata maksud artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau. Menteri itu berkata tulisan itu membawa makna beliau bersalah melakukan jenayah serius merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.

Rais juga berkata tulisan fitnah itu membawa maksud beliau seorang manusia dan/atau pemimpin yang tidak bermoral.

Menteri itu berkata bahawa ekoran daripada penerbitan artikel itu, reputasi beliau sebagai seorang individu dan/atau sebagai seorang profesional di peringkat nasional dan antarabangsa telah tercemar teruk, dan membuat beliau malu dan tertekan.

Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu di Negeri Sembilan telah menafikan tuduhan itu selepas seorang penulis blog menamakan beliau.

Ekoran itu, seorang wanita yang pernah bekerja dengan beliau selama lapan tahun, dilaporkan oleh sebuah portal berita Indonesia, telah menafikan yang beliau pernah dilayan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Amizudin dalam pernyataan pembelaannya mempertahankan tindakannya dengan berkata artikel itu menyatakan apa yang benar berlaku. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan