Gabungan DAP-SNAP Tak Untungkan Pembangkang

Diterbitkan: Selasa, 26 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: DAP diingatkan supaya tidak mengambil jalan mudah untuk meraih sokongan masyarakat Dayak Sarawak dengan bergabung bersama Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berkata hasrat penggabungan antara DAP dan SNAP tidak akan membawa kepada lonjakan sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat.

Sebaliknya beliau berkata, DAP perlu lebih kerap turun padang ke kawasan pedalaman yang majoritnya masyarakat Dayak.

"Ini soal realiti kekuatan di peringkat bawah, apa yang kita bangkitkan ini bukan bertujuan untuk meragui hasrat DAP meluaskan sayap di kalangan bumiputera.

"Tapi ingin kita tegaskan ialah, tak ada jalan muda untuk itu, kita kena teruskan usaha walaupun ambil masa yang panjang untuk kita bina kredibiliti dengan pengundi Dayak," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bergabung dengan SNAP yang disifatkan sebagai usaha bagi menggalakkan pertumbuhan, sokongan dan kekuatan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di seluruh negara.

Lim juga berkata bahawa kemenangan DAP di 12 kerusi pada pilihan raya Sarawak 16 April lalu bukan atas sokongan orang Cina sahaja tetapi daripada semua kaum.

Selain itu Mohd Rafizi berkata, SNAP tidak mempunyai kredibiliti terutamanya dari aspek jentera peringkat bawahan.

Justeru katanya, sekiranya penggabungan antara DAP-SNAP diteruskan, DAP tetap perlu turun padang tanpa boleh bergantung kepada SNAP dalam soal pengurusan jentera parti.

"Kalau berlaku penggabungan itu, akhirnya DAP sama seperti PKR terpaksa juga turun ke bawah, buka cawangan, pilih pimpinan kita sendiri di kalangan masyarakat Iban dan Bidayuh," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan