Lembaga Hasil Sedang Bangunkan Laman Web Dalam Mandarin

Diterbitkan: Isnin, 25 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menjelaskan bahawa laman web rasminya adalah dalam Bahasa Malaysia serta Bahasa Inggeris sahaja tetapi kini sedang dalam proses untuk membina laman web dalam Bahasa Mandarin sepenuhnya.

"LHDNM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya telah mengorak langkah untuk memungkinkan laman web dalam Bahasa Mandarin sepenuhnya tetapi inisiatif ini masih di peringkat pembangunan," demikian menurut LHDNM dalam satu kenyataan Isnin.

Buat masa ini, pembayar cukai boleh melihat terjemahan borang B dan BE dalam Bahasa Mandarin di laman web Bahasa Malaysianya dan pembayar cukai masih dimestikan mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam Bahasa Malaysia.

Memandangkan permintaan yang agak tinggi daripada pembayar cukai yang berbahasa Mandarin, tindakan telah diambil untuk membantu golongan tersebut dengan mengadakan butang terjemahan Mandarin secara terus oleh Google dengan ada penafian dimuatkan, katanya.

LHDNM memohon maaf di atas kekeliruan yang timbul dan inisiatif terjemahan Bahasa Mandarin telah ditutup mulai pagi ini.

Di dalam penafian itu, LHDNM berkata terjemahan itu merupakan terjemahan terus dari laman web LHDNM versi Bahasa Melayu dan ia tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperoleh daripada laman web berkenaan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan